MELBOURNE, 9 JAN – Pemain nombor satu dunia, Jannik Sinner diundi hari ini menentang pemain hebat, Nicolas Jarry, untuk memulakan perlawanan kejuaraan Terbuka Australia manakala Novak Djokovic dijangka akan bertemu Carlos Alcaraz di suku akhir.
Sinner dari Itali menewaskan pemain Rusia Daniil Medvedev pada perlawanan akhir tahun lalu di Melbourne untuk mengesahkan kejuaraan utama pertamanya dan seterusnya menambah gelaran Terbuka Amerika Syarikat dan ATP Akhir dalam koleksinya.
Bagaimanapun pilihan utama itu akan memulakan pertahanan kejuaraannya diselubungi masalah doping selepas dua kali diuji positif clostebol steroid pada Mac lalu.
Dia dibebaskan oleh Agensi Integriti Tenis Antarabangsa tetapi sedang menunggu keputusan rayuan oleh Agensi Anti-Doping Dunia.
Pemain berusia 23 tahun itu akan bertemu sama ada pemain Greece, Stefanos Tsitsipas atau pemain Australia Alex de Minaur pada suku akhir, dan Medvedev di separuh akhir.
Manakala Djokovic dari Serbia diundi bersama pemain wildcard Amerika, Nishesh Basavareddy untuk memulakan perlawanan tetapi berdepan tugas besar untuk memenangi Terbuka Australia ke-11 serta Grand Slam ke-25.
Dia diundi untuk menentang pemain nombor 10 dunia, Grigor Dimitrov pada pusingan keempat dan pemain Sepanyol, Alcaraz, dalam kelompok lapan terakhir, sebelum bersaing dengan Alexander Zverev di separuh akhir.
Alcaraz akan menentang pemain Kazakhstan, Alexander Shevchenko, yang memperoleh kemenangan meyakinkan ke atas pemain nombor 11 dunia, Tsitsipas, pada kejohanan Piala United baru-baru ini.
Sementara itu, Zverev pula akan bertemu pemain wildcard Perancis, Lucas Pouille. – AFP