Wednesday, December 4, 2024
25.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sokong kepimpinan OKU dalam pembangunan negara

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 DIS – Tema Sambutan Hari Antarabangsa Orang Kelainan Upaya 2024 Memperkasa Kepimpinan Orang Kelainan Upaya untuk Masa Depan yang Inklusif dan Mampan menekankan kepentingan penyertaan berterusan orang kelainan upaya (OKU) di semua peringkat, serta perlunya kerjasama untuk mewujudkan persekitaran yang inklusif untuk memberikan peluang yang sama kepada OKU dalam pendidikan, pekerjaan dan masyarakat.

    Selain menyeru masyarakat untuk menyokong kepimpinan OKU dalam memperjuangkan hak mereka demi pembangunan yang lebih lestari dan adil, tema ini juga selaras dengan salah satu daripada empat bidang utama Pelan Tindakan OKU di bawah Jawatankuasa Khas Isu OKU, iaitu Penglibatan OKU dan Masyarakat (Advokasi).

    Perkara tersebut ditekankan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad dalam perutusan sempena sambutan Hari Antarabangsa OKU 2024, hari ini.

    Menurut Yang Berhormat Dato, penjagaan dan kesejahteraan OKU terus diutamakan oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan pelbagai program sedang giat dilaksanakan.

    Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), setakat ini, seramai 2,699 OKU telah didaftarkan dalam Pendaftaran Kebangsaan OKU. Di samping itu, setakat Oktober 2024, seramai 6,156 OKU telah menerima Elaun Kurang Upaya (EKU), yang mana 825 daripadanya telah menerima dua faedah iaitu Pencen Umur Tua dan Elaun Kurang Upaya.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi menyampaikan ucapan sempena Hari Antarabangsa OKU. – GAMBAR SERAHAN KKBS

    Sementara itu, 1,654 orang telah menerima Elaun Penyedia Penjagaan (EPP), iaitu elaun khas yang dihulurkan kepada penjaga OKU mengikut kriteria-kriteria yang telah ditetapkan. Penjagaan ini bukan sahaja dihasratkan dapat menampung keperluan khas OKU, malah ianya merupakan satu pengiktirafan terhadap kepentingan keselamatan sosial OKU di negara ini.

    Bagi meningkatkan kualiti penjagaan untuk OKU, KKBS dengan kerjasama Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan, sedang merancang untuk menyediakan Kursus Penyedia Penjagaan bagi para penerima Elaun Penyedia Penjagaan, iaitu khusus bagi penjagaan golongan warga emas yang berkelainan upaya dan memerlukan bantuan daripada orang lain.

    “Insya Allah, melalui kursus ini, ahli keluarga dan penjaga akan dapat mempelajari teknik-teknik penjagaan yang betul untuk memastikan keselamatan OKU dan warga emas dalam penjagaan harian,” kata Yang Berhormat Dato.

    Tahun ini, pengambilan ke-13 Program Khidmat Bakti Negara akan memperkenalkan modul latihan baharu yang menekankan penjagaan untuk pelbagai segmen masyarakat, termasuk OKU.

    Sementara itu, Yang Berhormat Dato menyatakan intervensi awal untuk kanak-kanak kelainan upaya adalah satu lagi aspek penting dalam memastikan inklusiviti dan peluang yang sama untuk semua.

    Diagnosis dan sokongan awal bukan sahaja meningkatkan hasil perkembangan tetapi juga meletakkan asas yang kukuh untuk kanak-kanak mencapai potensi penuh mereka.

    Selain memastikan kebajikan golongan OKU, Pelan Tindakan OKU 2020-2024 di bawah Majlis Kebangsaan Isu Sosial juga menekankan strategi bagi meningkatkan kapasiti dan akses OKU kepada pendidikan dan peluang menjana pendapatan, agar mereka dapat hidup berdikari dalam masyarakat.

    “Dari segi pendidikan, alhamdulillah, mulai tahun ini, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah menyediakan peruntukan Elaun Pendidikan Khas bagi institusi-institusi dan sekolah-sekolah khas yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan.

    “Seterusnya dari segi pekerjaan, baru-baru ini, Jelajah Kerjaya 2024 anjuran Pusat Pekerjaan Brunei (PPB) telah menawarkan 100 peluang pekerjaan dari syarikat-syarikat swasta dan mengadakan temu duga terbuka bagi para pencari kerja tempatan, termasuk untuk OKU,” tambah Yang Berhormat Dato.

    Di samping itu, KKBS, Kementerian Pendidikan dan Projek IMPIAN julung-julung kalinya akan mengadakan Pameran dan Forum Sumber Keperluan Khas: OKU dengan Pendidikan dan Kemahiran, yang akan diadakan pada 8 Disember 2024.

    Acara ini akan menyediakan satu landasan sehenti bagi ibu bapa dan penjaga untuk mengetahui program-program yang disediakan di sekolah-sekolah, agensi-agensi dan juga persatuan-persatuan OKU bagi golongan OKU sebelum dan selepas mengikuti persekolahan di bawah Akta Pendidikan Wajib.

    Kolaborasi antara Jabatan Buruh, Pejabat Perancangan Tenaga Manusia (PPTM) dan Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat (L3C) itu mencerminkan advokasi yang digalakkan melalui Pelan Tindakan OKU dan perlu dipertingkatkan lagi demi memberikan peluang yang sama kepada golongan OKU untuk menyumbang kepada pembangunan negara.

    “Sambutan Hari Antarabangsa OKU memperingatkan kita tentang nilai dan sumbangan besar golongan OKU dalam masyarakat serta pembangunan negara. Sambutan ini bukan sahaja meraikan kebolehan OKU tetapi juga seruan untuk bertindak dan terus berusaha ke arah dunia yang benar-benar inklusif dan saksama tanpa sesiapa yang ketinggalan.

    “Setiap individu mempunyai peranan penting dalam memperjuangkan hak OKU. Ini termasuk menyokong persekitaran yang mesra dan boleh diakses oleh OKU, mendidik diri sendiri serta orang lain mengenai isu-isu yang dihadapi mereka, dan menyokong dasar-dasar yang menjamin kesaksamaan hak. “Setiap tindakan, sekecil mana pun, memberi impak yang besar dalam memastikan hak OKU dihormati dan dilaksanakan. Selamat menyambut Hari Antarabangsa OKU,” tambah Yang Berhormat Dato.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda