Monday, September 30, 2024
33.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Solat Sunat Hajat untuk pelajar PIP Yayasan

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Seramai 264 pelajar yang mengikuti projek kelas tuisyen Program Intervensi Pendidikan (PIP) Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) di lapan pusat di seluruh negara menghadiri Majlis Sembahyang Sunat Hajat di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kiarong, hari ini.

    Majlis kendalian Yayasan itu khusus bagi pelajar yang akan menduduki peperiksaan awam pada tahun ini, bertujuan memohon keberkatan dan kekuatan rohani dalam persediaan menghadapi peperiksaan.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad, yang juga Ahli Lembaga Pengarah Yayasan dan Pengerusi Jawatankuasa Meneliti Bantuan Yayasan.

    Kelas tuisyen PIP Yayasan memberi tumpuan kepada mata pelajaran teras dengan objektif membantu pelajar mencapai keputusan cemerlang, sekali gus membuka peluang mereka melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

    Selain itu, mata pelajaran wajib bagi Peperiksaan Sijil Sekolah-sekolah Rendah Ugama (SSSRU) turut diserapkan melalui Projek Tahsin, sebagai sebahagian daripada program tersebut.

    Majlis dimulakan dengan Sembahyang Sunat Hajat, diikuti bacaan Surah Yasin beramai-ramai, serta bacaan Doa Peperiksaan yang diketuai oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahhuddin.

    Pada tahun ini, 148 pelajar akan menduduki Penilaian Sekolah Rendah (PSR), 65 pelajar menduduki Peperiksaan GCE ‘O’ Level, manakala 51 lagi akan menduduki Peperiksaan SSSRU.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi hadir selaku tetamu kehormat majlis. – GAMBAR SERAHAN INFOFOTO
    Antara pelajar PIP yang menghadiri Majlis Sembahyang Sunat Hajat di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah. – GAMBAR SERAHAN INFOFOTO
    GAMBAR SERAHAN INFOFOTO

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda