Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Suarez, Messi selamatkan Inter Miami

    NASHVILLE, 8 MAC  – Jaringan gol Luis Suárez dan Lionel Messi membantu Inter Miami seri 2-2 dengan Nashville dalam Piala Juara CONCACAF, kelmarin.
     
    Pemain Nashville, Jacob Shaffelburg menjaringkan gol pada minit keempat dan sekali lagi pada minit ke-47 selepas separuh masa untuk meletakkan Nashville mendahului 2-0 di hadapan 30,109 penonton.
     
    Cubaan dari Messi gagal pada minit ke-13 apabila rembatan kaki kirinya dari tengah kotak penalti tersasar ke kiri gawang. 
     
    Penjaga gol Nashville, Joe Willis berjaya menghentikan rembatan Messi dari  kaki kanannya pada minit ke-37 dari kotak penalti.
     
    Kekasaran memberi peluang kepada Messi sejurus sebelum rehat pada masa kecederaan tetapi sepakan percumanya menerjah dinding Nashville. Julian Gressel cuba mengejar bola dan merembat dengan kaki kanannya, tetapi berjaya ditepis Willis.
     
    Pada minit ke-52, Suarez melakukan hantaran kepada Messi yang berada di luar kotak penalti. Messi merembat bola dengan kaki kirinya melepasi tangan kanan Willis dan masuk ke sebelah kiri gol menjadikan kedudukan 2-1. 
     
    Nashville hampir menambah kedudukan 3-1 apabila Shaq Moore menjaringkan gol pada minit ke-83, tetapi gol itu dibatalkan kerana ofsaid.
     
    Suarez menyamakan kedudukan dengan jaringan pada minit kelima dalam masa tambahan dengan menanduk hasil hantaran lintang bekas rakan sepasukan Barcelona, Sergio Busquets.
     
    “Ia sememangnya tahap kepintaran yang sangat berbeza daripada pemain seperti Lionel Messi dan Busquets dan Suarez,” kata jurulatih Nashville, Gary Smith mengenai bakat-bakat tambahan pasukan.
     
    “Tahap yang sangat berbeza. Dan kebanyakan masa, saya fikir pemain telah melakukan kerja yang sangat baik,” tambahnya. – AP
     
    Aksi Lionel Messi semasa perlawanan Piala Juara-Juara CONCACAF pada 7 Mac lalu. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda