Saturday, October 5, 2024
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sunak minta maaf sebelum berundur

    LONDON, 5 JULAI – Rishi Sunak hari ini meminta maaf kepada orang ramai selepas parti Konservatifnya dikalahkan oleh parti Buruh dalam pilihan raya umum United Kingdom (UK), dan berkata beliau akan meletakkan jawatan sebagai ketua parti.

    Bekas ahli kewangan berusia 44 tahun itu mengambil risiko untuk mengadakan undian enam bulan lebih awal, berharap data ekonomi yang lebih baik akan mengembalikan sokongan orang ramai terhadap Tories.

    Namun undian kelmarin menunjukkan bahawa rakyat Britain mahu menghantar mesej yang jelas kepada parti itu dengan menyingkir mereka daripada kuasa selepas
    14 tahun berdepan masalah ekonomi, pergolakan Brexit dan perbalahan dalaman Tory.

    “Kepada negara, pertama sekali saya ingin memohon maaf,” katanya di luar kediaman Perdana Menteri di Downing Street, sebelum menuju ke Istana Buckingham untuk menyerahkan peletakan jawatannya sebagai perdana menteri kepada Raja Charles III.

    “Saya telah memberikan sepenuhnya kepada tugas ini, tetapi awda telah menghantar isyarat yang jelas bahawa kerajaan UK mesti berubah. Dan keputusan awda adalah satu-satunya pertimbangan yang penting.

    “Saya telah mendengar kemarahan awda, kekecewaan awda dan saya bertanggungjawab atas kekalahan ini.”

    Skala kekalahan itu menyebabkan Sunak pemimpin kelima parti konservatif sejak 2010 – juga perlu berundur sebagai ketua Tory.

    Namun beliau berkata beliau akan kekal dalam peranan itu sehingga persiapan dibuat untuk pertandingan kepimpinan dalaman, yang dijangka menjadi persaingan untuk ideologi parti.

    Sunak menyaksikan jumlah rekod pasukan menteri tertingginya kehilangan kerusi mereka, termasuk Setiausaha Pertahanan, Grant Shapps dan ketua Dewan Rakyat, Penny Mordaunt.

    Mantan perdana menteri sebelumnya, Liz Truss, juga kehilangan kerusinya. – AFP

    Perdana Menteri Britain yang akan bersara dan pemimpin parti Konservatif, Risihi Sunak, menyampaikan kenyataan selepas kalah dalam pilihan raya umum, di luar 10 Downing Street di London pada 5 Julai, sehari selepas Britain mengadakan pilihan raya umum. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda