Thursday, May 2, 2024
30.4 C
Brunei

    -

    Takut jarum? China guna vaksin sedutan

    BEIJING, 26 OKT – Bandar China, Shanghai memulakan pemberian vaksin COVID-19 secara sedutan hari ini, dipercayai vaksin pertama seumpamanya di dunia.

    Menurut pengumuman dalam media sosial rasmi bandar itu, vaksin COVID-19 dalam bentuk semburan yang disedut melalui mulut itu, diberikan secara percuma sebagai dos penggalak.

    Saintis berharap vaksin bebas jarum itu dapat menarik individu yang enggan menerima vaksin melalui suntikan, selain membantu memperluaskan vaksinasi di negara miskin kerana ia lebih mudah diberikan.

    China mahu lebih ramai individu tampil mendapatkan dos penggalak sebelum melonggarkan sekatan ketat pandemik yang menjejaskan ekonomi dan berlawanan dengan tindakan dilakukan di seluruh dunia.

    Satu video yang dimuat naik dalam media kerajaan China menunjukkan orang ramai memasukkan muncung bekas lutsinar berwarna putih ke dalam mulut mereka di sebuah pusat kesihatan komuniti.

    Kakitangan perubatan menyerahkan vaksin bentuk semburan di Shanghai pada 26 Oktober. – AP

    Di bekas itu, terdapat tulisan memaklumkan penerima vaksin perlu menyedutnya secara perlahan sebelum menahan nafas selama lima saat, dengan keseluruhan prosedur selesai dalam tempoh 20 saat.

    “Ia sama seperti minum secawan teh. Apabila saya menyedutnya, ia rasa sedikit manis,” kata seorang penduduk Shanghai dalam video berkenaan.

    Sementara itu, seorang pakar berpandangan, pengambilan vaksin menerusi mulut boleh menghalang virus daripada masuk ke sistem pernafasan lain, namun ia bergantung pada saiz rembesan vaksin.

    Pakar imunologi di India, Dr Vineeta Bal, berkata rembesan yang lebih besar akan melatih sistem pertahanan di mulut dan tekak, manakala rembesan kecil akan terus masuk lebih ke bahagian tubuh badan.

    Vaksin jenis sedutan yang dibangunkan oleh Cansino Biologics Inc itu adalah sama dengan vaksin adenovirus satu dos dalam bentuk suntikan yang dibangunkan syarikat biofarmaseutikal China itu, dan diluluskan untuk digunakan sebagai dos penggalak bulan lalu.

    Menurut Cansino, vaksin secara sedutan itu sudah selesai menjalani percubaan klinikal di China, Hungary, Pakistan, Malaysia, Argentina dan Mexico. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Ancaman bom palsu cetus panik di 100 sekolah India

    NEW DELHI, 1 MEI - Ancaman bom palsu telah mencetuskan panik di sekolah di ibu negara India pada pagi tadi dengan ibu bapa bergegas membawa...