WASHINGTON, 21 JAN – Jutawan teknologi termasuk Elon Musk, Mark Zuckerberg dan Jeff Bezos diberi tempat duduk khas pada majlis perasmian Donald Trump kelmarin, suatu keadaan dalam politik Amerika Syarikat (AS) yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Musk, Bezos dan Zuckerberg adalah tiga orang terkaya di dunia, menurut Forbes. Pengasas bersama Google, Sergey Brin di tempat ketujuh, turut hadir.
Turut hadir termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook dan Ketua Pegawai Eksekutif Google, Sundar Pichai.
Manakala Ketua Pegawai Eksekutif TikTok, Shou Chew duduk di barisan belakang pentas, walaupun masa depan platformnya di AS masih tidak menentu.
“Apabila tiga lelaki terkaya di Amerika duduk di belakang Trump semasa perasmiannya, semua orang faham bahawa golongan jutawan kini mengawal kerajaan kita,” kata Senator sayap kiri AS, Bernie Sanders dalam catatan media sosial.
Musk telah menunjukkan sokongan paling kuat terhadap Trump, apabila membelanjakan AS$277 juta untuk membantunya dan juga ahli Republikan lain memenangi pilihan raya November lalu.
Kemudian Musk telah dinamakan sebagai ketua dalam Jabatan Kecekapan Kerajaan untuk menasihati Rumah Putih mengenai pemotongan perbelanjaan awam.
Manakala Bezos, pemilik The Washington Post, mencetuskan kontroversi apabila menghalang siaran akhbar mengenai kempen Naib Presiden Demokrat Kamala Harris untuk pilihan raya lalu. – AFP