KUALA BELAIT, 2007 – Seorang lelaki terkejut melihat setangkai terung kembar tiga ketika hendak memotongnya bagi dijadikan hidangan.
Lelaki itu yang memperkenalkan dirinya sebagai Hong berkata sayur itu daripada pekebun di Kampung Labi tetapi tidak menyedari keganjilan itu ketika dimasukkan ke beg plastik.
Beliau hanya menyedari keganjilan terung itu ketika isterinya hendak memotong terung itu untuk dimasak, katanya kepada Media Permata.
“Saya sungguh terkejut melihat sayur terung kembar tiga setangkai dan saya tidak pernah melihat keadaan seperti itu seumur saya,” dakwanya.
Dua biji daripada terung kembar itu melekat dan yang sebiji lagi agak terpisah tetapi masih dalam satu tangkai yang sama.
Hong berkata pada mulanya isteri beliau tidak memasak sayur itu kerana sayang akan keunikan itu tetapi dia membuat keputusan untuk memasaknya sahaja tetapi mengambil gambar sebagai kenangan.
Sementara itu pekebun yang menanam sayur berkenaan mendakwa beliau juga tidak menyedari keanehan sayur itu ketika memetiknya dan terus memuatkan ke dalam plastik setelah Hong datang.
Pekebun itu juga berkata beliau tidak pernah melihat terung yang tumbuh kembar seperti itu sebelumnya dan berharap ia satu petanda akan membawa keuntungan dalam hidup mereka.