Thursday, May 2, 2024
24 C
Brunei

    -

    Terumbu dunia diancam pemutihan karang baharu

    WASHINGTON, 16 APRIL – Dunia kini mengalami peris-tiwa pemutihan karang utama kedua dalam tempoh 10 tahun, dengan sistem terumbu dari Australia ke Florida berada di ambang krisis berikutan air laut menjadi terlalu panas dalam beberapa bulan yang telah memecahkan rekod, umum sebuah agensi Amerika Syarikat (AS) kelmarin.

    Pemutihan karang boleh memberi kesan meluas iaitu menjejaskan bukan sahaja kesihatan lautan tetapi juga mata pencarian manusia, keselamatan makanan dan ekonomi tempatan.

    Tekanan haba yang teruk atau berpanjangan menyebabkan karang mati, tetapi terdapat harapan untuk pulih jika suhu turun dan tekanan lain seperti penangkapan ikan berlebihan dan pencemaran dikurangkan.

    “Apabila lautan dunia terus panas, pemutihan karang menjadi lebih kerap dan teruk,” kata Derek Manzello dari Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan AS (NOAA).

    “Apabila kejadian ini cukup teruk atau berpanjangan, ia boleh menyebabkan kematian karang, yang menjejaskan orang ramai di mana kebanyakannya bergantung kepada terumbu karang untuk mata pencarian mereka,” tambahnya.

    Pemantauan tekanan haba NOAA adalah berdasarkan pengukuran satelit dari 1985 hingga ke hari ini. Kejadian pemutihan terkini adalah yang keempat dalam rekod, di mana sebelumnya telah berlaku pada 1998, 2010 dan 2016.

    Karang – merupakan hidupan marin invertebrat yang terdiri daripada haiwan individu dipanggil polip – mempunyai hubungan simbiotik dengan alga yang hidup di dalam tisunya termasuk menyediakan sumber makanan utama.

    Apabila air terlalu panas, karang mengeluarkan alganya dan bertukar menjadi putih, kesan yang dipanggil ‘pemutihan’ dan menyebabkan ia terdedah kepada penyakit dan berisiko maut. – AFP

    Gambar fail bertarikh 16 September menunjukkan batu karang yang memutih kelihatan di Flower Garden Banks National Marine Sanctuary, di luar pantai Galveston, Texas, di Teluk Mexico. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Ancaman bom palsu cetus panik di 100 sekolah India

    NEW DELHI, 1 MEI - Ancaman bom palsu telah mencetuskan panik di sekolah di ibu negara India pada pagi tadi dengan ibu bapa bergegas membawa...