Tuesday, December 3, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Thailand ambil langkah waspada hadapi banjir

    BANGKOK, 2 DIS – Empat belas wilayah di selatan Thailand telah diberi amaran untuk bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir kilat, limpahan air dan banjir berpanjangan antara 3 hingga 5 Disember ini.

    Dalam satu kenyataan hari ini, Jabatan Pencegahan dan Pengurusan Bencana (DDPM) menyatakan bahawa berdasarkan data Jabatan Meteorologi, satu sistem tekanan rendah di Laut China Selatan dijangka bergerak merentasi Teluk Thailand dan selatan Thailand ke Laut Andaman yang lebih rendah.

    “Sistem ini dijangka membawa hujan lebat hingga sangat lebat ke beberapa kawasan,” katanya.

    Wilayah yang terlibat adalah Chumphon, Surat Thani, Nakhon Si Thammarat, Phatthalung, Songkhla, Pattani, Yala, Narathiwat, Ranong, Phang Nga, Phuket, Krabi, Trang dan Satun.

    Berikutan perkembangan itu, DDPM berkata pihak berkuasa telah diarahkan untuk memantau keadaan cuaca, paras air dan trend hujan dengan teliti bagi memastikan respons yang tepat pada masanya.

    DDPM juga memaklumkan bahawa Pusat Pengurusan dan Pencegahan Bencana telah mengarahkan pusat-pusat wilayahnya di Surat Thani, Songkhla dan Phuket untuk kekal berwaspada dan siap sedia memberikan bantuan.

    DDPM kelmarin melaporkan bahawa banjir yang sedang berlaku telah meragut 12 nyawa, menjejaskan 78 daerah, 508 daerah kecil, 3,387 kampung, dan 617,386 isi rumah di tujuh wilayah selatan -Nakhon Si Thammarat, Phatthalung, Satun, Songkhla, Pattani, Yala dan Narathiwat.

    Timbalan Jurucakap Kerajaan, Anukool Pruksanusak dalam satu kenyataan berasingan memberi jaminan kepada petani di wilayah selatan bahawa kerajaan komited sepenuhnya untuk memberikan bantuan. – Bernama

    Kelihatan dua orang awam meredah air banjir di luar Masjid Pusat Pattani selepas hujan lebat berhari-hari melanda wilayah selatan Thailand, Pattani, semalam. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda