LOS ANGELES, 21 JUN – Lexi Thompson melakukan birdie pada tiga lubang pertama untuk mencatatkan keputusan empat bawah par 68, sekali gus mendapat kedudukan pendahulu dengan satu pukulan selepas pusingan pertama Kejohanan PGA Wanita kelmarin.
Pemain Amerika Syarikat berusia 29 tahun itu, yang mengumumkan pada bulan lalu bahawa ini akan menjadi musim terakhirnya di LPGA, berada satu pukulan di hadapan rakan senegaranya, Nelly Korda dan pemain Thailand, Patty Tavatanakit selepas 18 lubang di Sahalee Country Club di Sammamish, Washington.
“Secara keseluruhannya, ini adalah hari yang hebat,” kata Thompson. “Saya bermain dengan baik. Mempunyai permulaan yang baik, jadi saya cuba untuk terus mengekalkannya. Terdapat banyak lubang yang mencabar di luar sana, tetapi saya berasa sangat selesa.”
Thompson, yang menjadi naib juara minggu lalu, memuji permainan mantapnya dengan perubahan gaya pukulan, bukan dengan pendedahan persaraannya.
“Saya telah menemui sesuatu dalam ayunan saya, hanya cuba untuk memudahkan teknik permainan,” katanya. “Saya rasa ini tiada kaitan dengan pengumuman yang saya buat. Ia lebih kepada keselesaan dan teknik permainan Lexi yang bebas, mungkin.”
Penyandang juara Olimpik Korda, yang memburu kemenangan besar ketiganya, melakukan tiga birdie berturut-turut pada satu masa untuk kekal berada di tangga teratas.
“Secara keseluruhan, saya rasa ini adalah hari yang sangat baik,” kata Korda.
“Padang golf ini sangat mencabar. Adalah penting untuk memukul fairway. Pukulan tee juga sangat mencabar, jadi apa-apa sahaja yang di bawah par adalah keputusan yang baik.” – AFP