Aktor Redza Rosli, 31, jarang terpalit dengan kontroversi buruk, cuma sering dikaitkan terjebak dengan cinta lokasi.
Namun, ia tidak sesekali menjejaskan kerjaya lakonannya biarpun sebelum ini, pernah dikaitkan dengan beberapa pelakon seperti Ruhainies, Ayda Jebat, Octavia Manrose, Raysha Rizrose dan Sharifah Rose.
Redza atau nama sebenarnya, Ahmad Redza Rosli berkata, dia mahu mengelak terpalit atau mencipta kontroversi berkaitan kisah cinta.
“Gosip bersama beberapa pelakon wanita disebabkan keserasian dalam drama.
“Jujurnya, cinta lokasi tidak pernah wujud. Ia hanyalah tanggapan peminat yang terbawa-bawa dengan kisah cinta dalam drama.
“Bagaimanapun, saya pula jenis fokus ketika bekerja. Jadi, memang keserasian wujud apabila bergandingan dengan mana-mana pelakon wanita.

“Lagipun, saya tak suka buat hal dan senang bekerjasama dengan semua orang,” katanya kepada BH Online.
Diusik adakah sudah berpunya, anak kelahiran Subang Jaya, Selangor itu mengakui masih solo, namun tidak pernah menolak kehadiran wanita dalam hidupnya.
“Soal jodoh, mengapa kita mahu mendahului kehendak Allah. Saya memang tak tahu nak jawab dengan siapa akan berkahwin, itu kuasa Tuhan. Saya hanya berjalan mengikut arus.
“Bila sudah bersedia, saya akan berkongsi. Tetapi, sekarang saya hanya pergi dan pulang kerja,” katanya.
Redza berkata, dia tidak pernah menolak kehadiran wanita dalam dalam hidup.
“Saya percaya jodoh juga seperti rezeki. Bertemu jodoh baik juga rezeki.
“Tetapi, buat masa ini, saya tidak memikirkan soal cinta dan wanita.
“Saya mahu fokus kepada karier dan utamakan keluarga. Sebab masa yang ada pun tidak lama, kita bukannya akan hidup selama-lamanya. Kita tak tahu apa yang akan terjadi walaupun 30 minit akan datang,” katanya.
Berikutan itu, Redza percaya perancangan Allah adalah terbaik dan mahu memanfaatkan usia untuk berbakti kepada keluarga selain berazam memperbaiki diri. – Agensi