Wednesday, November 27, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiada salji di rumah Santa, Artik terancam

    ROVANIEMI, 26 NOV — Dengan hanya sebulan sebelum Krismas, Santa Claus sedang giat membuat persiapan, namun kebimbangan memuncak terhadap perubahan iklim dan kekurangan salji di kampung halamannya di Artik.

    Menjelang waktu ini setiap tahun, bandar Rovaniemi di Lapland, Finland — yang sejak 1980an dipromosikan oleh pihak pelancongan sebagai ‘rumah sebenar Santa Claus’ — sepatutnya berwarna putih dan cantik.

    Para pelancong ketika berkunjung ke kampung halaman Santa Claus semasa hujan, dekat Rovaniemi, Lapland Finland pada 16 November. – AFP

    Namun, kunjungan baru-baru ini mendapati hujan turun dengan lebat di bawah langit kelabu suram, dan suhu mencatatkan +2 darjah Celsius, jauh di atas paras beku.
    “Rusa kutub saya boleh terbang, jadi itu bukan masalah,” kata lelaki berjubah merah dengan janggut putih panjang itu, yang sedang berehat selepas seharian bertemu kanak-kanak dan orang dewasa yang teruja.

    “Tetapi kita dapat melihat bahawa perubahan iklim adalah nyata. Ia memberi kesan kepada rusa kutub dan kehidupan di Artik,” tambahnya. Pekerjanya bagaimanapun enggan mendedahkan nama sebenar lelaki itu.

    Penternak rusa kutub berkata musim sejuk yang semakin panas dan tidak menentu menyebabkan haiwan itu sukar mendapatkan lumut, makanan utamanya. Salji dan ais yang mencair serta membeku semula telah tertanam di bawah lapisan ais yang padat.

    Menurut kajian yang diterbitkan saintis Finland dalam jurnal Nature pada 2022, kawasan Artik memanas hampir empat kali lebih cepat berbanding bahagian lain dunia akibat perubahan iklim. Peningkatan suhu global yang didorong oleh pembakaran bahan api fosil oleh manusia telah memperburukkan bencana cuaca seperti banjir dan kemarau di seluruh dunia dalam beberapa tahun kebelakangan ini. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda