PUTRAJAYA, 29 DIS – Tiada undang-undang yang mewajibkan mana-mana pihak untuk memohon Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan permohonan sijil itu di Malaysia masih bersifat sukarela, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.
Beliau berkata permohonan SPHM terbuka kepada mana-mana pihak yang bersedia untuk mematuhi semua keperluan piawaian, standard serta perundangan yang berkuat kuasa.
“Ia akan memberi nilai tambah kepada pemegang sijl melalui tahap komitmen yang tinggi untuk sentiasa mematuhi standard dan piawaian pensijilan halal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Berhubung tindakan satu pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mewajibkan pengusaha premis makanan dan minuman memiliki SPHM sebelum memperbaharu lesen perniagaan, Sirajuddin berkata ia merupakan usaha PBT berkenaan untuk meningkatkan bilangan pemegang SPHM di bawah pentadbirannya.
Namun, beliau berkata pihaknya berharap agar PBT terbabit dapat memberikan penjelasan yang tuntas dan menyeluruh bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dalam kalangan pengusaha dan orang ramai. – Bernama