Wednesday, May 15, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Tindakan saman fitnah ditolak

    Oleh Ak Zaki Kasharan 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 NOV – Tindakan saman fitnah yang diambil oleh seorang warga India, terhadap bapa saudaranya dan seorang perempuan warga tempatan, telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi kerana tidak mendedahkan sebab tindakan yang munasabah.

    Pada 2014, Mahader Mohamed bersama Zainah binti Haji Muhammad merupakan pengarah di sebuah syarikat perkakasan yang dikenali sebagai Nasreen Jaya Sdn Bhd.

    Mahader secara rasmi meletak jawatan sebagai pengarah pada 2019, walaupun dia mendakwa peletakan jawatan itu adalah palsu.

    Dia memulakan prosiding undang-undang bagi saman fitnah terhadap Zainah berhubung laporan yang dibuatnya kepada pihak polis dan mendakwa bapa saudaranya, Ubaythullah Haji Mohidee telah membantu Zainah membuat laporan berkenaan.

    Mahader seterusnya mendakwa dia dan saudara lelaki kandungnya, Syed Isak, adalah satu-satunya pemegang saham Nasreen Jaya.

    Perkara itu dipertikaikan oleh Ubaythullah bersama defendan-defendan lain dalam tindakan itu yang mendakwa Mahader dan Syed Isak adalah pemegang amanah untuk Ubaythullah yang telah membeli Nasreen Jaya daripada pemilik terdahulu.

    Hakim Edward Timothy Starbuck Woolley yang bersetuju dengan peguam mewakili Zainah dan Ubaythullah berkata bahawa terdapat barisan panjang pihak berkuasa Inggeris yang menetapkan prinsip bahawa seseorang yang membuat laporan polis dilindungi oleh keistimewaan mutlak daripada sebarang tindakan saman fitnah ‘untuk memastikan orang ramai boleh bercakap dengan bebas tanpa rasa takut untuk didakwa’.

    Peguam bagi Mahader merujuk kepada satu kes di Singapura dan dua di Australia di mana seseorang yang membuat laporan polis tidak dilindungi daripada didakwa dalam saman fitnah.

    Hakim Woolley berkata bahawa ‘jika terdapat konflik antara kes Inggeris dan kes Komanwel, kes Inggeris mesti diikuti’.

    Mahkamah seterusnya bersetuju dengan peguam Zainah dan Ubaythullah bahawa Mahader tidak mempunyai kuasa untuk melantik peguam bagi syarikat Nasreen Jaya.

    Dapatan mahkamah menyatakan bahawa walaupun Mahader dan saudara kandung lelakinya adalah satu-satunya pemegang saham Nasreen Jaya, kuasa untuk melantik peguam terletak pada pengarah.

    Zainah dan seorang lagi warga tempatan adalah pengarah berdaftar Nasreen Jaya pada masa ini.

    Mahader cuba membetulkan kekurangan kuasa untuk melantik peguam bagi pihak Nasreen Jaya dengan meluluskan resolusi untuk memecat dua pengarah tempatan Nasreen Jaya dan menggantikan mereka dengan Mahader sendiri dan seorang lagi warga tempatan.

    Mahkamah seterusnya mendapati prosedur yang diguna pakai untuk memecat dua pengarah tempatan dan menggantikan mereka adalah tidak sah.

    Hakim Woolley mendapati bahawa dalam apa jua keadaan, percubaan untuk membetulkan kekurangan kuasa untuk melantik peguam mestilah dilakukan ‘dalam masa yang munasabah’.

    Tindakan undang-undang oleh Mahader dan Nasreen Jaya bermula pada 19 Februari 2021 dan hanya pada September 2022 terdapat percubaan untuk membetulkan kekurangan kuasa itu. 

    Hakim mendapati penangguhan yang lama itu adalah ‘tidak wajar’ dan tindakan yang kononnya dilakukan atas nama Nasreen Jaya mesti dibatalkan walaupun atas alasan itu sahaja.

    Mahader dan Nasreen Jaya telah diwakili oleh peguam On Hung Zheng dan Andrew Jonathan Wong dari Messrs CCW and Partnership.

    Zainah dan Ubaythullah pula diwakili oleh peguam Eugene Loh, Anlan Hee dan Lim Li Chyi daripada Messrs Yusof Halim & Partners.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hospital di India terima ancaman bom

    NEW DELHI, 14 MEI – Beberapa buah hospital di Ibu Kota India, Delhi hari ini menerima panggilan ancaman bom, memaksa pihak pentadbiran untuk menghubungi...