Thursday, November 28, 2024
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tinggal lebih masa, lima warga asing didenda, sebat

    Oleh Salawati Haji Yahya

    KUALA BELAIT, 11 NOV – Lima individu lelaki warga Indonesia telah didakwa di mahkamah atas kesalahan di bawah Bab 15 (1), Akta Imigresen, Penggal 17 iaitu tinggal lebih masa setelah pas imigresen mansuh.

                Jabatan Imigresen Dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, menyatakan, Samsodin, 41, Dedi Stiawan, 26; dan Andi Purwanto, 29, telah pun dijatuhkan hukuman penjara selama 5 bulan bermula dari tarikh mereka direman iaitu pada 05 November dan tiga kali sebatan.

                Seorang lagi, Ahmad Saekhoni, 51, juga dijatuhkan hukuman penjara selama lima bulan bagi kesalahan tinggal lebih masa setelah pas imigresen mansuh, manakala hukuman sebat ditiadakan mengikut peruntukkan Seksyen 258, Hukum Kanan Jenayah Penggal 7, dan hukuman bermula pada 5 November lalu.

                Sementara itu, Samroni, 51, dijatuhkan hukuman denda sebanyak $3,500.00 atau penjara selama tiga bulan jika gagal untuk membayar denda tersebut, dan beliau telah pun selesai membayar jumlah hukuman denda tersebut pada 5 November.

                Kes-kes pendakwaan berkenaan merupakan hasil daripada operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Cawangan Kuala Belait yang telah dijalankan di bawah Operasi Kabat 111/2024.

                JIPK mengalu-alukan kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan pesalah-pesalah imigresen untuk menghubungi terus ke talian hotline di talian 8734888 / 8753888 (Bandar Seri Begawan) / 8984111 (Kuala Belait).

    Gambar freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda