Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JUN – Untuk memberikan latihan khusus kepada peguam mengenai teknik dan strategi yang diperlukan untuk perwakilan yang berkesan dalam perantaraan, Pusat Timbang Tara Brunei Darussalam (BDAC) dengan kerjasama Singapore Mediation Centre (SMC) mengendalikan program latihan bertajuk Effective Mediation Advocacy.
Majlis perasmian program latihan berkenaan telah diadakan kelmarin di Pejabat BDAC, Jalan Kumbang Pasang di mana hadir selaku tetamu kehormat ialah Hakim Mahkamah Perantaraan dan Pengerusi Lembaga Pengarah BDAC, Yang Arif Radin Safiee bin Radin Mas Basiuni.
Turut hadir ialah peserta-peserta program latihan, pegawai-pegawai BDAC serta penceramah-penceramah yang dijemput dari SMC bagi mengendalikan program latihan tersebut.
Pengerusi Lembaga Pengarah BDAC dalam ucapan alu-aluannya menekankan kepentingan pengamal undang-undang perlu meluaskan pengetahuan dan kecekapan mereka dalam perantaraan, selaras dengan visi yang telah diutarakan oleh Ketua Hakim, Dato Seri Paduka Steven Chong semasa pembukaan Tahun Undang-undang, baru-baru ini.
Beliau juga menyatakan keyakinannya bahawa peserta program latihan tersebut akan mendapat manfaat yang besar daripada kursus tersebut dan meningkatkan kemahiran, serta menyumbang kepada aksesibiliti keadilan secara lebih meluas.
BDAC ditubuhkan untuk menyediakan perkhidmatan timbang tara dan pengantaraan untuk memenuhi keperluan pengguna domestik dan antarabangsa.
Kursus itu merupakan yang pertama seumpamanya yang dianjurkan oleh BDAC dan ia sejajar dengan komitmennya untuk menjadi tempat pilihan penyelesaian pertikaian.
