BANGKOK, 4 DIS – Hidangan terkenal Thailand, Tomyam Kung kini tersenarai dalam Senarai Perwakilan Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).
Pengumuman itu dibuat kelmarin semasa sesi ke-19 Jawatankuasa Antara Kerajaan bagi Melindungi Warisan Budaya Tidak Ketara yang diadakan di Asuncion, Paraguay.
Tomyam Kung merupakan sup masam pedas yang mengandungi herba tempatan seperti lengkuas, serai dan daun limau purut, lazimnya dihidangkan bersama udang dan cendawan.
Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra menyifatkan pengiktirafan itu sebagai pencapaian penting dalam meningkatkan kesedaran tentang warisan budaya tidak ketara serta peranannya sebagai pemacu dan menjamin pembangunan mampan.
Beliau menekankan bahawa Tomyam Kung adalah hidangan sihat yang berasal daripada kebijaksanaan dan amalan kulinari masyarakat tepi sungai di kawasan tengah Thailand, yang diwarisi dari generasi ke generasi.
“Tomyam Kung kini menjadi contoh dan bukti penting warisan budaya yang membentuk soft power Thailand,” katanya dalam mesej video yang disiarkan di laman sesawang rasmi Kerajaan Diraja Thailand hari ini.
Pengiktirafan ini menyoroti khazanah budaya lain Thailand dalam senarai itu, termasuk tarian topeng Khon, urutan tradisional Thai, drama tari Nora dari selatan Thailand dan perayaan Songkran yang meriah. – Bernama