WASHINGTON, 24 NOV – Presiden Terpilih Amerika Syarikat, Donald Trump, dilaporkan merancang untuk memecat keseluruhan pasukan Peguam Khas, Jack Smith yang menyiasat penglibatannya dalam insiden rusuhan di Capitol pada 2011 serta kes dokumen sulit, lapor Sputnik.
Menurut laporan akhbar The Washington Post kelmarin, yang memetik dua individu yang mengetahui rancangan itu, Trump turut bercadang memecat peguam kerajaan berpengalaman yang biasanya dilindungi daripada tindak balas politik.
Trump juga dilaporkan berhasrat untuk menubuhkan pasukan penyiasat dalam Jabatan Kehakiman bagi mengumpul bukti berhubung dakwaan penipuan Pilihan Raya Presiden 2020, khususnya di negeri-negeri penentu.
Bagaimanapun, pengenalan peraturan yang membolehkan Trump memecat kakitangan kerajaan tanpa halangan dijangka mengambil masa bertahun-tahun, menurut pakar yang ditemu bual akhbar itu.
Awal bulan ini, media Amerika Syarikat melaporkan bahawa Jack Smith dijangka meletakkan jawatan sebagai Peguam Khas sebelum Trump kembali ke Rumah Putih. Smith telah memegang jawatan itu sejak November 2022.
Laporan media juga menyebut prosiding terhadap Trump mungkin dihentikan sebelum beliau secara rasmi memegang jawatan presiden. – Bernama