Wednesday, October 30, 2024
29 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tsitsipas lupakan sengketa lama

    LONDON, 6 JULAI – Stefanos Tsitsipas semalam menegaskan bahawa perselisihannya di tandas semasa Kejohanan Terbuka AS bersama Andy Murray telah ‘dilupakan’ menjelang pertembungan Wimbledon pusingan kedua mereka.

    Tsitsipas berhasil mengalahkan Murray dalam perlawanan pusingan pertama yang berlangsung hampir lima jam di New York pada tahun 2021.

    Murray begitu marah apabila pemain Greece itu mengambil waktu rehat untuk perubatan selepas kalah dalam set ketiga kemudian meminta waktu rehat lagi untuk ke tandas selama lapan minit pada akhir set keempat.

    Bekas pemain nombor satu dunia, Murray secara sinis menulis di laman Twitternya, “Fakta hari ini. Stefanos Tsitsipas mengambil masa dua kali lebih lama untuk pergi ke bilik air berbanding Jeff Bezos mengembara ke angkasa. Menarik.”

    Bagaimanapun, menjelang pertembungan mereka di Centre Court hari ini untuk mendapat tempat dalam pusingan 32 terakhir, pemain nombor lima dunia Greece itu mendakwa bahawa mereka berdua telah berbaik semula.

    “Saya rasa ia sudah lama diselesaikan. Kami terpaksa bermain Piala Laver bersama-sama dalam pasukan yang sama. Saya sudah melupakannya. Dia sudah melupakannya,” kata Tsitsipas selepas menewaskan Dominic Thiem dalam lima set di Kelab All England semalam.

    “Dia seorang yang saya hormati. Dia telah melakukan perkara yang hebat dalam tenis. Saya menantikan perlawanan ini,” ujarnya.

    Tsitsipas tidak pernah bermain di Centre Court di mana Murray pernah merangkul gelaran Wimbledon pada tahun 2013 dan 2016. – AFP

    Stefanos Tsitsipas beraksi dalam kejohanan tenis Wimbledon di London, pada 5 Julai. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda