Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tujuh buah gerai terbiar diroboh

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OGOS – Tujuh buah gerai di sepanjang Jalan Bukit Bukit Kebun, Jalan Utama Terunjing dan Jalan Bengkurong Masin yang tidak lagi digunakan dan terbiar, menjadi tumpuan dalam Operasi Meroboh Gerai Usang.

    Kerja-kerja meroboh gerai terbiar di salah satu tapak. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PEMBANGUNAN

    Operasi yang dijalankan oleh Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Jalan Raya, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Perancang Bandar dan Desa bersama Jabatan Daerah Brunei dan Muara dan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) itu, menyasarkan empat gerai di Jalan Bukit Kebun, dua gerai di Jalan Utama Terunjing dan sebuah gerai di Jalan Bengkurong Masin.

    Dalam siaran akhbar yang dikeluarkan oleh kementerian berkenaan di sini, hari ini, turut menegaskan, gerai-gerai yang terbiar itu jika dibiarkan boleh menimbulkan risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya dan menjejaskan imej negara di kawasan berkenaan.

    Kerja membuka dan menanggalkan gerai yang terbiar itu adalah atas perbelanjaan kerajaan yang mana perbelanjaan tersebut lebih bermanfaat dibelanjakan untuk membina atau membaiki jalan raya.

    Ketua Pengarah Kerja Raya mempunyai kuasa untuk menanggalkan struktur-struktur atau gerai sedemikian dan boleh menuntut kembali perbelanjaan yang ditanggung daripada pemilik struktur-struktur atau gerai tersebut.

    Mendirikan apa jua struktur di atas jalan atau rizab jalan tanpa kebenaran adalah satu kesalahan di bawah Akta Lalu Lintas Jalan Raya dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda sehingga $2,000.

    Ke arah itu, penjaja gerai diingatkan untuk mematuhi undang-undang dan turut sama bertanggungjawab bagi memperbaiki persekitaran dan kesejahteraan awam.

    Orang ramai bolehlah mengongsikan maklumat jika terdapat gerai yang terbiar dan boleh menyebabkan bahaya kepada pengguna jalan raya dengan menghubungi Talian Darussalam 123 atau melalui e-mel info@123.gov.bn.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda