Oleh Salawati Haji Yahya –
Ibadah haji bukan sekadar sebuah perjalanan fizikal tetapi satu proses transformasi rohani yang menyeluruh.
Haji yang mabrur tidak hanya dicapai melalui pelaksanaan rukun-rukun dan syarat-syarat ibadah yang sahih tetapi turut menuntut pemahaman mendalam akan maqasidnya serta penghayatan nilai-nilainya dalam kehidupan seharian.
“Justeru itu, kesan haji mabrur harus terzahir dalam setiap aspek kehidupan seharian individu yang telah menunaikan haji bukan sekadar pada gelaran atau panggilan semata-mata,” tekan Pengarah Pusat Ilmu Teras, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Haji Mohd Syahiran bin Haji Mohd Sofian semasa menyampaikan pembentangan kertas perdana bertajuk Haji Fardhu vs Haji Mabrur pada Majlis Penutup Muzakarah Haji ke-32, kelmarin di Dewan Multaqa, Aras Bawah Bangunan Tambahan, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).
Haji Mohd Syahiran sebelum itu menerangkan mengenai pengertian haji yang merupakan salah satu rukun Islam yang wajib dilaksanakan oleh setiap individu Muslim yang memenuhi syarat-syarat tertentu.
Ia bukan sahaja menjadi simbol kepatuhan kepada perintah Allah, malah mencerminkan nilai pengorbanan dan ketaatan yang tinggi, yang mana haji dalam bahasa menuju ke suatu tempat.
Manakala dari sudut syarak pula, ia bermaksud pergi menuju Baitullah Al-Haram untuk menunaikan ibadah yang khusus dengan syarat-syarat yang khusus.
Dalam konteks pelaksanaan ibadah haji, dua konsep utama sering menjadi tumpuan perbincangan iaitu haji fardhu dan haji mabrur.
Beliau menyatakan tafsiran dari pelbagai para ulama tentang haji mabrur, namun kesemuanya bersepakat ia adalah haji yang disempurnakan dengan pelaksanaan yang sempurna, bebas daripada dosa dan menghasilkan perubahan positif dalam diri seseorang.
Haji mabrur menjadikan seseorang lebih taat kepada Allah, bersikap zuhud terhadap dunia, dan mengutamakan kehidupan akhirat dan inilah matlamat tertinggi yang diidamkan oleh setiap Muslim yang menunaikan ibadah haji.
Sebagai pengkursus, guru atau penyampai ilmu tentang ibadah haji, tegasnya, tanggungjawab bukan sekadar menyampaikan pengertian, rukun, wajib dan amalan-amalan haji serta umrah, tetapi perlu mendidik para jemaah untuk memahami rahsia dan nilai-nilai yang terkandung dalam ibadah ini.
Dengan cara ini, katanya, para jemaah bukan sahaja dapat melaksanakan ibadah haji dengan baik dan sempurna, tetapi juga berusaha untuk mencapai status haji mabrur.
Murid dan jemaah perlu dididik bukan hanya tentang tatacara pelaksanaan haji dan umrah tetapi juga perlu disampaikan untuk menghayati nilai-nilai dan tujuan pensyariatan, hukum-hakam dalam ibadah haji.
“Mereka harus menyedari bahawa pensyariatan haji bukan semata-mata kewajipan tetapi juga mengandungi hikmah dan tujuan yang mendalam bagi kehidupan seorang Muslim,” jelasnya.
KEISTIMEWAAN HAJI MABRUR
Menyentuh mengenai keistimewaan haji mabrur, ianya amatlah besar kerana bukan sahaja diterima sebagai ibadah yang sah di sisi Allah SWT tetapi juga membawa ganjaran yang paling tinggi iaitu syurga.
Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah radhiaallahu ‘anhu, maksudnya, “Antara satu umrah ke umrah berikutnya adalah penghapus dosa di antara keduanya dan haji mabrur tiada balasan lain melainkan syurga.”
Hadis ini, katanya, menegaskan ganjaran bagi haji mabrur melampaui apa jua ganjaran duniawi, kerana ia menjamin kedudukan yang mulia di sisi Allah SWT iaitu syurga yang kekal abadi.
Selain mengongsi ciri-ciri untuk mendapatkan haji mabrur yang termaktub dalam Surah Al-Baqarah ayat 197, antaranya mengawal hawa nafsu, menghindari Fusuq (Maksiat), tidak bertengkar atau berbantah-bantah, melakukan kebaikan dan membawa bekal secukupnya bukan hanya material tetapi bekal rohani iaitu ketakwaan.
Di samping bertakwa kepada Allah, perlu juga memanfaatkan akal untuk memahami hikmah pensyariatan haji.
IBADAH HAJI MENGANDUNGI FALSAFAH MENDALAM
Haji Mohd Syahiran menjelaskan haji bukan sekadar ibadah fizikal tetapi mengandungi falsafah mendalam yang membentuk jiwa dan akhlak seorang Muslim.
“Setiap rukun dan manasik haji mempunyai maqasidnya tersendiri yang membawa mesej spiritual yang penting dan membimbing seorang Muslim untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT,” jelasnya.
Hubungannya dengan nilai-nilai haji mabrur terletak pada bagaimana seseorang memahami dan menghayati falsafah ini sehingga dapat menghasilkan perubahan positif dalam kehidupannya.
Ini antaranya, Ihram simbol kesucian dan pengendalian hawa nafsu. Ia juga lambang ketundukan dan kesucian seorang hamba yang menuju kepada Tuhannya.
Dengan berpakaian serba putih, seorang Muslim diingatkan akan kematian dan keperluan untuk membersihkan jiwa daripada dosa.
Manakala Tawaf pula bermaksud ketundukan mutlak kepada Allah. Tawaf mengelilingi Kaabah dengan doa dan zikir mencerminkan kepatuhan dengan hati yang ikhlas dan mutlak kepada Allah SWT. Saie pula petanda usaha tanpa putus asa dan tawakal. Perjalanan antara Safa dan Marwah melambangkan usaha gigih yang tidak mengenal lelah. Ia simbolik kehidupan seorang Muslim yang terus berjuang diiringi dengan tawakal kepada Allah SWT.
Sementara wuquf di Arafah adalah kemuncak ibadah haji menggambarkan kehambaan dan pengakuan dosa sepenuhnya di hadapan Allah SWT dan bercukur atau bergunting melambangkan kepatuhan dan pembaharuan diri.
MERAIH HAJI MABRUR DAN KESANNYA
Beliau menegaskan haji mabrur bukan sekadar pencapaian dalam ibadah haji tetapi manifestasi kesan ibadah tersebut dalam kehidupan seharian.
Amalan yang mendekatkan diri kepada haji mabrur tidak berhenti selepas pulang daripada menunaikan haji, bahkan wajib diteruskan dan diterapkan dalam setiap aspek kehidupan contohnya seperti keikhlasan yang dilatih semasa haji harus diteruskan dalam setiap amalan harian seperti beribadah, pekerjaan dan tanggungjawab.
Begitu juga dalam kehidupan seharian, setiap tindakan harus selaras dengan ajaran Islam termasuk menjaga solat lima waktu.
Selain itu, kesedaran tentang pentingnya rezeki halal, kebiasaan berdoa dan bertawakal perlu dijadikan rutin dalam kehidupan dan mengekalkan nilai-nilai akhlak yang dipupuk semasa haji seperti sabar, tolong-menolong dan toleransi hendaklah menjadi asas hubungan sesama manusia.
Yang utama juga adalah menjauhi maksiat dan perkara yang dilarang seperti fasiq, pertengkaran dan perbuatan tidak senonoh.
Oleh yang demikian, ujarnya, melestarikan kesinambungan haji mabrur dalam kehidupan seharian membawa erti bahawa ibadah haji telah berjaya mentarbiahkan seseorang menjadi Muslim yang lebih baik.
Sekali gus melahirkan individu yang mencintai akhirat serta bersikap zuhud terhadap dunia.