TURKIYE, 22 JAN – Turkiye bersiap sedia untuk mengebumikan mangsa kebakaran hari ini, sehari selepas kejadian itu mengorbankan 76 nyawa di sebuah hotel peranginan ski, ketika persoalan mengenai langkah keselamatan di hotel mewah tersebut semakin meningkat.
Ketika negara itu berkabung, puluhan keluarga sedang bersiap untuk mengebumikan orang tersayang yang terkorban apabila api memusnahkan hotel 12 tingkat itu.
Namun, di sebalik kesedihan, timbul kemarahan, dengan banyak akhbar menerbitkan dakwaan kecuaian di hotel di puncak gunung di Kartalkaya, yang terletak di barat laut Ankara.
“Bukan api, tetapi kecuaian yang bertanggungjawab atas begitu banyak kematian,” kata akhbar pro-kerajaan Hurriyet.
Kebakaran yang berlaku pada waktu tengah malam itu meletus pada musim kemuncak Hotel Grand Kartal, yang ketika itu mempunyai 238 tetamu yang menginap sempena permulaan cuti musim sejuk selama dua minggu.
Lebih daripada 30 orang masih dirawat di hospital hari ini, termasuk seorang dalam unit rawatan rapi, menurut pegawai.
Pada pagi yang berkabus, dengan bendera dikibarkan separuh tiang, pasukan penyelamat meneruskan pencarian di bangunan yang hangus hari ini, di mana media Turkiye melaporkan seluruh keluarga terkorban.
Antara mereka yang akan dikebumikan hari ini ialah seorang pakar neurologi, isterinya dan tiga anak mereka, termasuk pasangan kembar lelaki.
Kebakaran itu bermula sekitar jam 3:30 pagi, menyebabkan kepulan asap tebal menyelubungi udara dan mencetuskan panik dalam kalangan tetamu, ramai di antaranya cuba memanjat keluar dari tingkap de-ngan menggunakan cadar sebagai tali.
“Saya lihat seorang kanak-kanak tergantung dari tingkap hotel sambil meminta pertolongan,” kata Islam, yang bekerja di sebuah hotel berdekatan dan enggan memberikan nama penuhnya. – AFP