Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    UAE kutuk insiden tembakan di Oman

    ABU DHABI, 17 JULAI – Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengecam sekeras-kerasnya insiden tembakan di pekarangan masjid di Wadi Kabir, Oman hingga mengakibatkan beberapa kematian dan kecederaan.

    UAE menyatakan solidariti dengan Oman dan menyokong sepenuhnya langkah-langkah yang diambil bagi melindungi keselamatan dan kestabilan negara.

    Kementerian Luar Negeri (MoFA) dalam satu kenyataan menegaskan bahawa UAE menolak semua bentuk keganasan, menjejaskan keselamatan dan kestabilan serta membahayakan nyawa penduduk yang bertentangan dengan undang-undang antarabangsa, lapor Agensi Berita Emirates (WAM).

    Kementerian itu menyampaikan ucapan takziah dan simpati kepada kerajaan dan rakyat Oman serta kepada keluarga mangsa dan berharap agar mereka yang cedera cepat sembuh.

    Sementara itu, Sekretariat Agung Liga Arab dalam satu kenyataan pada Selasa turut mengutuk insiden tembakan dan menyatakan solidariti dengan Oman dalam apa jua langkah yang dianggap perlu bagi mengekalkan keamanan dan kestabilannya, lapor WAM.

    Menurut laporan media, sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dan beberapa lagi cedera akibat ditembak di sekitar sebuah masjid di Al-Wadi Al-Kabir, Muscat, Oman pada Selasa. – Bernama

    Gambar Freepik

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda