Thursday, December 5, 2024
30 C
Brunei

    Berita Terkini

    UK, ASEAN perkukuh hubungan melalui ekonomi kreatif

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OKT – Dalam usaha untuk membangunkan ekonomi kreatif di rantau ASEAN menerusi kolaborasi dengan United Kingdom (UK), Misi UK ke ASEAN dan British Council mengumumkan pelancaran inisiatif unik iaitu ASEAN-UK Advancing Creative Economy.

    Dalam kenyataan yang dikongsi oleh Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam, di sini, menyatakan bahawa program berkenaan bermula dengan sesi meja bulat bersama penggubal dasar di Jakarta pada awal 2024 yang mengumpulkan pemimpin pemikiran dari UK dan setiap negara anggota ASEAN.

    Inisiatif itu melambangkan langkah ke hadapan yang signifikan dalam mengukuhkan industri kreatif di serata negara-negara ASEAN. Duta UK ke ASEAN, Puan Yang Terutama Sarah Tiffin menyatakan bahawa ekonomi kreatif memainkan peranan penting dalam memacu inovasi dan pertumbuhan dalam kerjasama yang berkembang maju antara UK dan ASEAN.

    Beliau menyatakan perasaan teruja untuk bekerjasama dengan British Council dan Sektretariat ASEAN bagi memajukan pembangunan mampan rangkaian kreatif di seluruh ASEAN.

    Dengan menggabungkan kekuatan kolektif serta memupuk kolaborasi, beliau berkata mereka dapat meningkatkan kesan industri kreatif, mengukuhkan hubungan kebudayaan serta menjana laluan ke arah masa depan yang lebih cerah dan inovatif untuk UK dan rantau ASEAN.

    Antara yang menyertai program berkenaan.- GAMBAR SERAHAN BRITISH COUNCIL

    Inisiatif ASEAN-UK Advancing Creative Economy disampaikan oleh British Council dengan pembiayaan bersama oleh Pejabat Pembangunan, Komanwel dan Luar UK serta disampaikan dengan kerjasama Sekretariat ASEAN.

    Inisiatif berkenaan menyokong pelaksanaan matlamat yang digariskan dalam Pelan Tindakan Komuniti Sosio-Budaya ASEAN 2025 dan Pelan Strategik ASEAN bagi Budaya dan Seni 2016-2025.

    Pengarah Negara Indonesia British Council dan Pengarah Asia Tenggara, Summer Xia dipetik menyatakan program usaha sama yang julung-julung kali diadakan antara British Council, Misi UK ke ASEAN dan Sekretariat ASEAN bermatlamat untuk mengambil pendekatan holistik kepada memperkasakan pengamal dan penggubal dasar ASEAN dalam ekonomi kreatif, meningkatkan kualiti dan kepelbagaian festival di serata rantau ASEAN, memupuk pertukaran kebudayaan dan kolaborasi antara UK dan Asia Tenggara serta menyediakan pandangan berharga dan penyelidikan dalam sektor kreatif dan seni ASEAN.

    Inisiatif baharu itu merangkumi tiga bidang utama iaitu Kursus Pembangunan Profesional, Pertukaran Pengetahuan antara UK dan ASEAN serta Penyelidikan dalam Sektor Kesenian ASEAN.

    Kursus Pembangunan Profesional menumpukan kepada pembangunan dasar ekonomi kreatif serta pengurusan dan pembangunan festival, menawarkan program khusus untuk menyokong perjalanan pertumbuhan penggubal dasar, penerbit festival dan profesional kreatif.

    Pertukaran Pengetahuan antara UK dan ASEAN menyatakan melalui delegasi ke UK bagi pengurus festival ASEAN dan meja bulat pembangunan dasar, ia bermatlamat untuk memudahkan pertukaran bermakna dan kolaborasi antara kedua-dua rantau berkenaan.

    Penyelidikan dalam Sektor Kesenian ASEAN merangkumi inisiatif seperti tinjauan persepsi serantau, pemetaan kesenian dan landskap teknologi kreatif ASEAN serta pemetaan festival ASEAN menyediakan pandangan berharga bagi inisiatif dan kolaborasi masa hadapan.

    Inisiatif ASEAN-UK Advancing Creative Economy juga menyampaikan agenda kesalinghubungan ASEAN dengan kesalinghubungan warga-ke-warga merupakan salah satu keutamaan di bawah Pelan Induk ASEAN bagi Kesalinghubungan.

    Insiaitif itu merupakan salah satu daripada pelbagai inisiatif Misi UK ke ASEAN yang mengetengahkan kerjasama maju antara UK dan ASEAN.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda