MANCHESTER, 29 OKT – Manchester United memecat pengurus Erik ten Hag malam tadi selepas permulaan musim paling buruk dan dilaporkan akan melantik jurulatih dari Portugal, Ruben Amorim sebagai bos mereka seterusnya.
Masa yang diberikan kepada Ten Hag sudah berakhir dengan UNited berada di tangga ke-14 dalam carta Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mereka mengalami kekalahan keempat dalam sembilan perlawanan liga menentang West Ham kelmarin.
Di sebalik pembelian besar dalam jendela perpindahan sebelum musim ini, satu daripada kelab terkaya di dunia itu hanya menang sekali dalam lapan perlawanan terakhir bagi semua pertandingan.
Bekas penyerang United, Ruud van Nistelrooy, seorang daripada staf kejurulatihan Ten Hag, dinamakan sebagai bos sementara.
Namun menurut beberapa laporan media Britain, United akan beralih kepada Amorim, pengurus Sporting Lisbon berusia 39 tahun yang dianggap sebagai salah seorang jurulatih muda terbaik di Eropah.
Sky Sports melaporkan United bersedia untuk membayar klausa pelepasan Amorim.
Amorim dikaitkan dengan jawatan pengurus di Liverpool berikutan pemergian Jurgen Klopp tahun ini, tetapi sebaliknya jurulatih Belanda, Arne Slot menggantikannya di Anfield.
Kedudukan Ten Hag, 54, telah dipersoalkan beberapa kali, namun pemilik bersama United, Jim Ratcliffe, memutuskan untuk mengekalkannya selepas semakan dalaman pada akhir musim lalu, di mana kelab menamatkan musim di tangga kelapan liga tetapi berjaya memenangi Piala FA dengan kemenangan mengejut ke atas Manchester City.
Ten Hag turut diberi lanjutan kontrak selama setahun sehingga Jun 2026.
Bagaimanapun, prestasi United tidak menunjukkan banyak peningkatan musim ini, dan kekalahan 2-1 kepada West Ham menjadi penentu terakhir bagi Ten Hag.
Kenyataan kelab itu kelmarin menyebut, “Erik ten Hag telah meninggalkan jawatannya sebagai pengurus pasukan utama lelaki Manchester United.” – AFP