Seronok bergelar ibu, pelakon Uqasha Senrose bagaimanapun mengaku ada kalanya dia merindui kehidupan sebelum mempunyai anak.
Ketika belum memiliki anak, Uqasha atau Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 33, memberitahu dia boleh melakukan aktiviti seperti menonton filem dan tidur tanpa mengira waktu.
Pun begitu, Uqasha berkata dia tetap gembira menjalani fasa baharu kehidupannya apabila dapat melihat Hawra Uqaira membesar di depan mata.
“Saya seronok bergelar ibu tapi kadang kala ada juga rasa rindu kehidupan dahulu boleh tidur bila-bila waktu, tonton filem tak perlu nak fikir tidur awal ke apa.
“Namun dalam masa sama, bila saya lihat anak membesar saya tak sangka dan rasa gembira sahaja. Perasaan itu sudah nak digambarkan tetapi hati tu sentiasa gembira.
“Perkara pertama selepas habis kerja, saya ada motivasi untuk balik rumah, nak jumpa anak,” katanya kepada mStar.
Dalam pada itu, Uqasha juga tidak menafikan agak penat untuk membahagikan masa antara lakonan dan menjaga anak, namun menyedari pengorbanannya itu sangat berbaloi.
“Saya tak nafikan agak penat untuk membahagikan masa antara kerja di set penggambaran dan menjaga anak.
“Tapi bagi saya penat yang berbaloi. Saya rasa pengalaman membesarkan dan menjaga anak ini adalah sangat berbaloi,” ujarnya.
Untuk rekod, Uqasha mendirikan rumah tangga dengan pelakon Kamal Adli pada 5 November 2021. – Agensi