Anggota kumpulan New Jeans iaitu Hanni dianggap sebagai pendatang tanpa izin di Korea Selatan susulan visanya sudah tamat tempoh.
Visa jenis E-6 Hanni yang berasal dari Vietnam dilaporkan terbatal selepas pihak syarikat pengurusannya iaitu ADOR menamatkan kontrak bersama penyanyi itu pada November lalu.
Menurut undang-undang Jabatan Imigresen negara tersebut, Hanni wajib meninggalkan Korea Selatan dalam tempoh 15 hari selepas kontraknya tamat iaitu pada 13 Disember 2024.
Memetik laporan mStar, Hanni dilaporkan masih berada di Korea Selatan tanpa visa sah sekali gus menjadikannya penduduk tanpa izin di negara itu.
Sebelum ini, ADOR telah memulakan proses pembaharuan visa Hanni namun usaha tersebut tergendala akibat konflik berterusan di antara kedua-dua pihak.
Untuk terus menetap dan menjalankan aktiviti di Korea Selatan, Hanni perlu memohon visa E-6 yang baharu namun proses itu dijangka mengambil masa dua hingga tiga bulan.
Sepanjang tempoh itu, Hanni tidak dibenarkan menjalankan sebarang aktiviti hiburan serta menambah tekanan kepada situasi sedang dihadapinya. – Agensi