STOCKHOLM, 30 OKT – Pengeluar kereta Sweden, Volvo Cars, yang dimiliki oleh Geely dari China, berkata hari ini bahawa ia akan mengambil alih sepenuhnya NOVO Energy, usaha sama dengan pembuat bateri yang sedang menghadapi masalah, Northvolt.
Kedua-dua syarikat mengumumkan penubuhan usaha sama pada Jun 2021, yang ditubuhkan untuk membina sebuah kilang bagi menghasilkan bateri untuk kenderaan elektrik Volvo Cars dan projek sampingan kenderaan elektrik (EV), Polestar.
Volvo menyatakan bahawa ia akan membatalkan hak penebusannya untuk memperoleh saham Northvolt dalam NOVO Energy.
“Tindakan ini diambil susulan pelanggaran perjanjian pemegang saham di mana Northvolt AB tidak memenuhi kewajipan pembiayaannya,” kata Volvo Cars.
Kedua-dua syarikat itu telah memulakan pembinaan kilang mereka di Gothenburg pada bulan Mac, tidak jauh dari lokasi pengeluaran Volvo Cars.
Volvo Cars menyatakan bahawa ia sedang mengkaji senario masa depan untuk melindungi pelaburan tersebut.
“Bangunan NOVO Energy boleh menjadi pelbagai fungsian dan pelbagai pilihan kini sedang dipertimbangkan dengan andaian bahawa Volvo Cars mencapai pemilikan penuh,” kata pengeluar kereta itu.
“Sebarang pengeluaran bateri di NOVO Energy bergantung kepada penglibatan pihak ketiga atau rakan kongsi lain,” tambahnya.
Pada akhir September, Northvolt mengumumkan bahawa ia akan mengurangkan 1,600 daripada 6,500 kakitangannya dan menghentikan pengembangan lokasi pengeluaran utamanya di Skelleftea di utara negara itu.
Dibelenggu penangguhan pengeluaran, pembuat bateri itu menyatakan bahawa ia perlu memberi tumpuan kepada ‘perniagaan terasnya, mengutamakan pengeluaran sel bateri berbanding bahagian lain dalam rantaian pengeluaran seperti pengeluaran katod dan kitar semula. – AFP