LONDON, 24 JAN – Penyerang bintang, Chris Wood, telah menandatangani lanjutan kontrak selama dua tahun dengan Nottingham Forest yang akan mengekalkannya di City Ground sehingga 2027, kata kelab Liga Perdana itu, kelmarin.
Penyerang New Zealand itu telah menjaringkan 14 gol liga setakat musim ini untuk membantu Forest naik ke tangga ketiga dalam liga utama England.
Wood, 33, pada mulanya menyertai Forest, bekas juara Eropah dua kali, secara pinjaman daripada Newcastle pada Januari 2023, dengan perjanjian itu menjadi kekal pada penghujung musim itu.
“Saya sangat teruja dan sangat gembira perjanjian ini lengkap dan dimeterai, saya tidak sabar untuk beberapa tahun akan datang,” kata Wood kepada laman web Forest, kelmarin.
“Saya lihat impian tinggi menggunung ketika tiba kali pertama. Apabila saya bercakap dengan pemilik (Evangelos Marinakis) dan keluarganya dan melihat di mana mereka mahu berada dari segi kedudukan dan melihat hala tuju kelab ini jelas mereka mempunyai cita-cita tinggi dan impian besar.
“Dia telah menyokong kelab selama bertahun-tahun, bahkan sebelum promosi ke Liga Perdana, dan pasukan sedang menuju ke arah yang betul.
“Saya teruja untuk masa depan. Kelab ini mempunyai banyak potensi untuk terus meningkat dan berkembang, dan saya ingin menjadi sebahagian daripadanya,” tambahnya.
Marinakis menambah pengaruh Wood melangkaui jumlah gol yang dijaringnya. – AFP