Penyanyi Zizi Kirana, 38, menafikan sudah berniqab sepenuhnya, sebaliknya masih dalam proses memperbetulkan diri dengan mendalami ilmu agama.
“Sebenarnya saya memang suka berniqab, cuma saya tahu kerjaya saya belum membolehkan saya untuk ke arah itu (berniqab).
“Berniqab ini bukan wajib, jadi ia pilihan kita untuk pakai atau tidak. Yang penting, tidak mencemarkan imej wanita berniqab. Disebabkan itu, saya kena berhati-hati.
“Itu yang bila nampak saya sekejap berniqab dan tidak, doakanlah sahaja yang baik-baik. Tak perlu nak komen tidak baik,” katanya kepada BH Online.
Dalam masa sama, kata bintang kelahiran Akademi Fantasia (AF) musim ketujuh yang mula berhijab sejak dua tahun lalu mengakui, dia bersyukur dikelilingi guru dan sahabat yang banyak membantunya untuk istiqamah.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/04/P18-2-Zizi_03042023.jpg)
“Iman kita ada turun dan naik dan hati juga berbolak-balik. Jadi, guru mengajar saya untuk istiqamah, kena sentiasa bersama orang-orang yang baik dan cuba jauhkan perkara negatif.
“Alhamdulillah, saya dan suami juga dikelilingi dengan orang yang baik-baik untuk membantu proses penghijrahan. Ramai sahabat yang memberi kami ruang menghadiri majlis agama dan berkumpul dengan orang berilmu,” katanya yang ditemui ketika rakaman program Melodi Raya di Luxury Garden Hall, baru-baru ini.
Sementara itu, suami kepada Zizi iaitu pelakon Yusuf Bahrin mengakui terbuka dengan pilihan isterinya dan tidak memaksa Zizi untuk membuat keputusan yang tidak disukai.
“Saya okay sahaja Zizi pakai niqab atau tidak. Mana-mana yang Zizi rasa selesa. Selagi tahu benda itu bukan perkara yang mendatangkan dosa, saya harap Zizi dapat mengawalnya sendiri.
“Setakat ini, tiada masalah atau sebarang isu. Saya sokong sahaja isteri saya,” katanya.
Terdahulu, Zizi dan Yusuf mendirikan rumah tangga pada 19 September 2021. – Agensi