Saturday, April 20, 2024
26.6 C
Brunei

    -

    10 anak damit lahir pada 1 Muharram

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OGOS – Seramai 10 orang anak damit telah dilahirkan pada 1 Muharram 1444H di seluruh negara dan diraikan dengan Majlis Pemberian Hadiah kepada Anak-anak Damit yang Lahir pada 1 Muharram 1444H.

    Di Daerah Brunei dan Muara, majlis diadakan di Pusat Perempuan dan Kanak-kanak Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan datin; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan datin, selaku pemangku Menteri Kesihatan.

    Pada majlis tersebut, Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) dan Syarikat Takaful Brunei Darussalam Sdn Bhd turut memberikan sumbangan masing-masing.

    Pada majlis di Daerah Brunei dan Muara, Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri selaku pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB menyampaikan hadiah daripada Perbadanan TAIB dan Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin, selaku ahli Lembaga Pengarah Syarikat Takaful Brunei Darussalam menyampaikan hadiah daripada syarikat berkenaan.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penjaga anak damit yang dilahirkan pada 1 Muharram 1444 Hijrah.
    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dan Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri beramah mesra bersama ibu bapa anak-anak damit 1 Muharam.
    Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyampaikan hadiah anak damit daripada Perbadanan TAIB.

    Anak-anak damit yang dilahirkan menerima hadiah berupa barangan anak damit dan buku agama sumbangan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

    Selain itu, mereka turut menerima sumbangan berupa Akaun Simanja dan hamper
    barangan anak damit serta baucar bagi penyertaan Takaful Nur Savings dan gym mat untuk anak-anak damit yang baru lahir.

    Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan dan datin; Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Mohd Rosli bin Haji Ibrahim; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) di KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang dan Timbalan Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Dayang Nor Hamidah binti Haji Hamidon.

    Sementara itu, majlis seumpamanya juga diadakan di Daerah Belait di mana hadir selaku tetamu khas ialah Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan) di Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Anie Haryani binti Haji Abdul Rahman.

    Majlis berkenaan bertujuan untuk melahirkan rasa syukur kehadrat Allah SWT di atas kelahiran anak damit pada hari yang baik dan bersejarah serta membesarkan sambutan kedatangan awal tahun Hijrah.

    Ia juga merupakan salah satu cara bagi menyebarkan dakwah Islamiah dan menjadikan takwim Hijrah terus men-dapat tempat penggunaannya dari semasa ke semasa.

    Pada 1 Muharram, sembilan anak damit telah dilahirkan di Daerah Brunei dan Muara
    dengan lapan dilahirkan di Hospital RIPAS iaitu tiga anak damit lelaki dan lima anak damit perempuan. Manakala itu, seorang anak damit perempuan dilahirkan di Jerudong Park Medical Centre (JPMC).

    Di Daerah Belait, seorang anak damit lelaki telah dilahirkan dan tiada kelahiran dicatatkan di Daerah Temburong.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...