Monday, December 2, 2024
32.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    134 pelajar tamat Program Asas Sains dirai

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 NOV – Seramai 134 orang pelajar yang berjaya menamatkan Program Asas dalam Sains di Kolej Sains Kesihatan JPMC (JCHS) telah diraikan pada majlis penyampaian sijil yang berlangsung di Hotel Mulia, hari ini.

    Hadir menyempurnakan penyampaian sijil kepada para pelajar yang diraikan ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad.

    Majlis yang membawa tema, Memupuk Masa Depan Penjagaan Kesihatan: Komitmen, Belas Kasihan dan Kecemerlang, menandakan mercu tanda yang amat penting bagi para pelajar di mana ia meraikan pencapaian, komitmen serta masa depan cerah yang menanti para graduan berkenaan.

    Dalam ucapan alu-aluannya, Ketua Pegawai Eksekutif JCHS, Chung Yea Fui merakamkan ucapan tahniah kepada para graduan yang diraikan di mana usaha tekun dan dedikasi mereka telah membawa mereka ke detik berkenaan.

    Beliau turut menyatakan bahawa majlis itu bukan sahaja bagi meraikan pencapaian para graduan tetapi ia merupakan satu peringatan mengenai nilai-nilai yang akan membentuk mereka sebagai seorang jururawat.

    ATAS & BAWAH: Dr Haji Azman semasa menyampaikan sijil kepada para graduan yang diraikan pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH JAMES KON
    GAMBAR OLEH JAMES KON
    GAMBAR OLEH JAMES KON
    GAMBAR OLEH JAMES KON
    Chung Yea Fui semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya pada majlis itu. – GAMBAR OLEH JAMES KON
    Antara graduan yang turut diraikan pada majlis itu. – GAMBAR OLEH JAMES KON
    GAMBAR OLEH JAMES KON

    Beliau juga menyatakan bahawa dengan para graduan melangkah ke fasa seterusnya kerjaya dan pendidikan kejururawatan, mereka diseru untuk sentiasa ingat akan nilai iaitu komitmen, belas kasihan dan kecemerlangan, di mana prinsip berkenaan akan menjadikan mereka seorang profesional penjaga kesihatan yang berimpak, dihormati dan dipercayai.

    Majlis seterusnya menyaksikan penyampaian sijil tamat program kepada para penerima yang disempurnakan oleh Dr Haji Azman.

    Majlis turut diserikan dengan sesi perkongsian oleh Pakar Jururawat Klinikal (Pendidik) di Jerudong Park Medical Centre (JPMC), Dr Karpagam Chakkaravarthy di mana beliau mengongsikan pengalaman yang berguna dengan para graduan mengenai latar belakangnya dalam bidang kejururawatan dan kepimpinan akademik.

    Beliau turut menggalakkan para graduan untuk menghadapi cabaran dan merebut semua peluang yang menanti mereka dalam sektor penjagaan kesihatan.

    Sementara itu, graduan dan wakil pelajar, Dayang Nur Athirah Muti’ah binti Haji Hamdilah dalam ucapannya menggalakkan para rakan sebayanya untuk membawa bersama mereka ke hadapan nilai-nilai kedayatahanan serta perkembangan sambil mereka bergerak dalam perjalanan profesional masing-masing.

    Acara turut menyaksikan lafaz Ikrar Setia yang diketuai oleh Awang Ahmad Nabeel bin Haji Mohammad Azaman yang mengukuhkan dedikasi para graduan kepada kerjaya pilihan mereka.

    Sijil Asas dalam Sains menyediakan para pelajar dengan asas mantap dalam pendidikan am dan kursus-kursus persiapan direka untuk menyokong kemasukan mereka ke dalam kurikulum Ijazah Sarjana Muda dalam Kejururawatan (BSN).

    Dengan penekanan kepada Sains Kehidupan, Kimia dan Biologi, sijil itu melengkapkan para graduan dengan kemahiran dan ilmu pengetahuan mustahak, meletakkan asas yang kukuh bagi pengajian masa depan mereka dalam penjagaan kesihatan.

    Majlis itu bukan sahaja meraikan pencapaian peribadi para graduan tetapi juga menggariskan komitmen tidak berbelah-bahagi JCHS kepada memupuk pemimpin penjagaan kesihatan generasi akan datang.

    Dengan program-program seperti Asas Sains dan Ijazah Sarjana Sains dalam Kejururawatan, JCHS kekal komited untuk memperkasa para pelajar dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk memberikan sumbangan bermakna kepada sektor penjagaan kesihatan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda