Thursday, March 13, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    137 terbunuh di Gaza sejak gencatan senjata

    BANDARAYA GAZA, 12 MAC – Sekurang-kurangnya 137 rakyat Palestin terbunuh sejak perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa di Gaza pada Januari, kata pihak berkuasa tempatan pada Selasa, lapor agensi Anadolu (AA).

    Dalam satu kenyataan, Salama Marouf, ketua pejabat media kerajaan Gaza menuduh Israel sengaja memperhebat serangannya ke atas rakyat Palestin sejak 10 hari lepas yang melanggar perjanjian gencatan senjata.

    “Jenayah terbaharu tentera rejim ialah serangan udara yang menyasarkan sekumpulan orang awam di tengah Gaza, membunuh lima orang, termasuk dua beradik, menjadikan jumlah yang syahid sejak gencatan senjata bermula kepada 137 orang,” kata Marouf.

    Menurut saksi, sebuah dron Israel telah menyerang sekumpulan rakyat Palestin berhampiran sebuah rumah yang musnah di kawasan Netzarim, berhampiran sempadan tenggara Bandaraya Gaza, mengorbankan lima orang.

    Sementara itu, Pemantau Hak Asasi Manusia, Euro-Mediterranean menyatakan bilangan kematian akibat serangan Israel di Gaza sejak gencatan senjata adalah 145 orang.

    Menurut kumpulan yang berpangkalan di Geneva itu, Israel telah membunuh purata tujuh rakyat Palestin setiap dua hari, dengan 605 orang yang lain cedera.

    Sejak perjanjian itu berkuat kuasa, “Israel telah menggunakan sekatan dan kebuluran sebagai taktik pembunuhan perlahan dalam genosid penduduk Gaza,” menurut kumpulan berkenaan dalam satu kenyataan.

    Pasukan lapangan kumpulan hak asasi manusia itu mendokumentasikan serangan Israel yang berterusan, termasuk ‘tembakan penembak hendap, serangan dron dan serangan quadcopter ke atas orang awam Palestin, terutamanya mereka yang cuba memeriksa rumah mereka berhampiran zon penampan yang dikenakan Israel di sepanjang sempadan utara dan timur Gaza,” menurut kumpulan itu.

    Kumpulan hak asasi manusia itu berkata Rafah di selatan Gaza merupakan antara kawasan yang paling kerap diserang sejak gencatan senjata.

    Mereka mengutuk ‘serangan sistematik Israel’ yang berterusan ‘tanpa justifikasi ketenteraan walaupun permusuhan telah dihentikan’ seperti yang termaktub dalam perjanjian. – Bernama

    Rakyat Palestin meratapi kematian orang tersayang selepas mereka terbunuh dalam serangan Israel yang dilaporkan di selatan bandar Gaza, pada 11 Mac. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda