Thursday, March 13, 2025
27.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    138 pelatih mendaftar Program Pembangunan Belia

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh James Kon

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JUN – Pusat Pembangunan Belia (PPB) sebagai salah sebuah pusat kemahiran yang bertanggungjawab dalam memberikan latihan kemahiran, pembangunan diri dan pengalaman penempatan pekerjaan khususnya bagi golongan belia telah mengenal pasti empat inisiatif utama ke arah memastikan hala tuju pusat berkenaan kekal relevan dengan perubahan serta peredaran zaman.

    Inisiatif-inisiatif berkenaan ialah melaksanakan kajian semula terhadap keberkesanan kursus-kursus sedia ada supaya lebih selaras kepada keperluan industri dan permintaan pasaran pekerjaan serta menawarkan lebih banyak kursus-kursus singkat baharu yang berpotensi dalam menyumbang kepada peluang pekerjaan.

    Inisiatif-inisiatif berkenaan telah dikongsi oleh Penolong Pengarah PPB, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Awang Haswandi bin Haji Osman dalam ucapannya semasa Majlis Pendaftaran Pelatih Baharu Program Pembangunan Belia bagi 2023 yang berlangsung di Dewan Binadiri, PPB, kelmarin.

    Inisiatif utama seterusnya, tambah beliau, ialah memantapkan hubungan kerjasama dengan pihak industri dan agensi berkaitan utama dalam mereka bentuk modul kursus dan peluang menjalankan On the Job Training dan Contract of Employment serta bekerjasama dan berganding bahu dengan agensi kerajaan dan swasta melalui kaedah Smart Partnership bagi program-program pembangunan ekonomi belia.

    Keempat-empat inisiatif utama itu, jelas Awang Haswandi, dilihat mampu dan selaras dalam mendukung Pelan Strategik KKBS 2020-2024 khususnya bagi sektor kebeliaan yang mana visinya, belia bertaraf dunia yang terteraskan nilai, sebagai agen perubahan siaga masa hadapan bagi pembangunan negara dengan berakar umbikan keinklusifan.

    Di samping itu, ke arah memastikan PPB tetap relevan sebagai pusat kecemerlangan bagi pembangun latihan dan kemahiran di negara ini, fokus latihan kemahiran turut dilebarkan de-ngan melaksanakan beberapa program komuniti dan singkat melibatkan golongan sasaran secara inklusif ke arah peningkatan kebolehpasaran pekerjaan, keusahawanan dan melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi bagi golongan berkenaan.

    Bagi Program Pembangunan Belia 2023, kira-kira 52 peratus para belia yang terpilih terdiri daripada golongan-golongan sasaran tertentu yang diharap berpeluang sama dalam menimba ilmu kemahiran di pusat berkenaan, jelas Awang Haswandi lagi.

    Seramai 138 orang pelatih mendaftar untuk mengikuti 10 kursus di bawah Program Pembangunan Belia yang ditawarkan di PPB bagi kemasukan 2023 di mana pelatih yang berjaya akan menjalani tiga komponen penting sepanjang tempoh pengajian mereka selama setahun iaitu Program Latihan Kemahiran, Pembangunan Diri dan Penempatan Kerja.

    Bagi para pelatih yang memilih bidang keusahawanan sebagai trajektori kerjaya, mereka juga akan didedahkan dengan pelbagai aktiviti dan projek dalam Program Keusahawanan seperti Program YDC Lights On semasa dalam Program Penempatan Kerja nanti.

    Awang Haswandi menyampaikan ucapan pada majlis berkenaan.
    Para pelatih baharu mengangkat sumpah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda