Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    150 ‘take’, akhirnya saya sakit badan – Hazama

    Tidak mudah buat penyanyi dan pelakon, Hazama (gambar-Agensi) membawa watak penjenayah dalam filem genre aksi, Coast Guard Malaysia: Ops Helang arahan Allahyarham Pitt Hanif.

    Ia bagaikan menguji dan mencabar kemampuan Hazama selepas lebih 16 tahun berkecimpung dalam dunia lakonan.

    Hazama atau nama sebenarnya, Hazama Ahmad Azmi berkata, dia perlu menjayakan babak aksi perlawanan dengan watak utama, Leftenan Maritim Hafiz lakonan Saharul Ridzwan yang disifatkan menguji kemampuannya.

    “Saya perlu buat percubaan aksi berlawan dengan Saharul sebanyak 150 ‘take’ untuk mendapatkan hasil terbaik mengikut tuntutan dalam skrip.

    “Bayangkan, ia adalah babak aksi pertama dan perlu dibuat sebanyak itu. Ini kerana babak ini perlu mendapat sudut betul depan kamera dan mengikut masa.

    “Jujurnya, inilah babak aksi paling berat kerana memerlukan stamina tinggi. Sudahnya, saya sakit badan selepas selesai penggambaran pada keesokan harinya.

    “Bagaimanapun, Hazama bersyukur banyak dibantu koreografer profesional untuk melakonkan babak aksi.

    “Saya hanya berlatih satu hari, tetapi saya terlebih dahulu membuat persediaan dari segi stamina, sebelum masuk ke set penggambaran,” katanya kepada BH Online.

    Hazama berkata, tawaran berlakon watak antagonis dalam filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang bagaikan peluang keemasan.

    “Sebelum ini, saya sering membawa watak komedi. Sampai masanya saya kena keluar dari zon selesa.

    “Saya tak menolak ditawarkan watak penjenayah bernama Kadok. Pada masa sama, saya memang minat filem aksi yang mengangkat wira perairan negara walaupun bukan watak utama.

    “Ini juga filem ketujuh lakonan dan saya berkampung di Pulau Langkawi, Kedah selama sebulan untuk memberi fokus pada filem ini,” katanya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda