Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    2 warga asing didapati menjalankan teksi sapu

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JAN – Dua orang pekerja asing berjawatan sah sebagai buruh telah didapati membuat pekerjaan teksi sapu, baru-baru ini.

    Kesalahan tersebut didapati oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang, Jabatan Buruh ketika mengendalikan Operasi Siaga 15/2024, yang bertujuan untuk menguatkuasakan dan memastikan Perintah Pekerjaan 2009 dipatuhi oleh para majikan.

    Pemeriksaan yang telah dijalankan di kawasan Bandar Seri Begawan itu telah mendapati sebanyak satu kesalahan dibawah Perintah Pekerjaan 2009 khususnya Bab 112(2) melanggar syarat-syarat lesen pekerja asing di mana dua pekerja asing berjawatan sah sebagai buruh didapati membuat pekerjaan teksi sapu.

    Bagi kesalahan melanggar Bab 112(2) Perintah Pekerjaan 2009, jika sabit kesalahan, majikan boleh dikenakan suatu denda tidak kurang dari $6,000 dan tidak melebihi dari $10,000, dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak kurang dari enam bulan atau tidak lebih dari tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

    Sehubungan dengan itu, Jabatan Buruh dalam kenyataan akhbarnya mengingatkan kepada majikan supaya sentiasa memantau keberadaan pekerja asing yang dijamin di samping hal ehwal kebajikan pekerja selaras dengan kehendak Perintah Pekerjaan, 2009 seperti penyediaan kontrak pekerjaan dan pembayaran gaji tepat pada waktunya.

    Para majikan adalah dinasihatkan untuk tidak menyalahgunakan Lesen Pekerja Asing dan melanggar akta di bawah Perintah Pekerjaan 2009.

    Untuk maklumat lebih lanjut bolehlah berhubung dengan Jabatan Buruh di talian 2381848 (semasa waktu bekerja) atau 7298989 (di luar waktu bekerja).

    Pegawai Penguatkuasa Undang-undang menjalankan pemeriksaan semasa Operasi Siaga yang dijalankan di kawasan Bandar Seri Begawan. – Gambar serahan Jabatan Buruh
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda