Saturday, October 5, 2024
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    4 filem pendek pelajar UBD akan ditayangkan di Sarawak

    Oleh Sim Y.H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Julai – Empat filem pendek pelajar-pelajar Industri Reka Bentuk dan Kreatif (DCI) akan ditayangkan pada Festival Filem Mini (MFF)ke-20, Sarawak, Malaysia dalam program khas bertajuk Through Bruneian Eyes: Films that Speak Our Stories.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Universiti Brunei Darussalam (UBD), di sini, buat kali pertama, edisi ke-20 MFF x Festival Kesenian Mini (MAF) di Sarawak, Malaysia, yang merupakan festival filem pendek yang paling lama diadakan di negara berkenaan, akan mengetengahkan kategori Filem Borneo.

    Di bawah program khas yang disusun dengan terperinci itu, empat filem pendek yang dihasilkan oleh pelajar-pelajar DCI UBD, yang menjadikan kesemuanya tujuh filem pendek Brunei, telah terpilih untuk ditayangkan dari pukul 2 petang hingga 4 petang pada 18 Julai nanti di Space 2 (Film Screening Hall), La Promenade Mall, Kota Samarahan, Sarawak semasa MFF ke-20 nanti.

    Barisan tujuh filem pendek Brunei yang akan ditayangkan adalah 9 Waqaf oleh Haziq Aniq, Iyaan Wears a Hat oleh Natasya Jazmeena, Jasa oleh Azhar Khir, Love’s Detour: From Crush to Crash oleh Dzul Iskandar, Menguyung Masa oleh Ridhwan Sabri, Nota oleh Adlina Tunggal dan Withering oleh Afifah Ali.

    Dikelolakan oleh pembuat filem Brunei, Tara Esa, yang juga merupakan seorang pelajar DCI senior yang pada masa ini, menuntut di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) semasa Discovery Year, berkata sesi khas itu menyediakan pandangan unik kepada bagaimana warga Brunei memahami dan melibatkan diri dengan dunia di sekeliling mereka.

    Beliau turut menyatakan hasrat untuk mengetengahkan pencapaian pengarah-pengarah wanita di mana di sebalik cabaran yang dihadapi, mereka masih dapat menghasilkan cerita yang menarik dan inovatif.

    Tayangan perdana bagi Menguyung Masa (UBD) dan Withering (UBD) telah diadakan di 5th UBD-FASS Term Screening pada April 2023, manakala tayangan perdana bagi 9 Waqaf (UNISSA) dan Love’s Detour: From Crush to Crash (UBD) telah diadakan di Festival Filem Pendek UBD PRISM ke-6 pada November 2023.

    Pengarah Festival Filem Mini, Yow Chong Lee dari UNIMAS menyatakan kategori Filem Borneo akan menghubungkan beberapa pembuat filem dengan warga kreatif di Sarawak, Sabah, Brunei Darussalam dan Kalimantan.

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda