NAIROBI, 31 Jan – Kenya telah menyerahkan kepada Amerika Syarikat empat lelaki yang disyaki cuba untuk menyeludup sejumlah besar heroin lebih dua tahun lalu selepas penangkapan mereka, kata polis hari ini.
Adik-beradik warga Kenya, Baktash dan Ibrahim Akasha telah ditangkap pada November 2014, bersama warga India, Vijaygiri Goswami dan warga Pakistan, Gulam Gussein, pada pengakhir siri serbuan berbulan lamanya oleh Pentadbiran Penguat kuasa Dadah AS (DEA) yang menyusup masuk ke dalam organisasi berpangkalan di Mombasa.
Afrika Timur muncul sebagai tempat penyeludupan penting dalam perdagangan heroin antarabangsa dan pegawai AS percaya keluarga Akasha merupakan kaitan penting dalam rangkaian bekalan yang menghubungkan ladang popi Afghanistan dengan pengguna di Eropah dan AS.
“Mereka telah dideportasi malam semalam dalam pesawat penerbangan carter peribadi dan kami menjangkakan mereka akan dihadapkan ke mahkamah di AS atas dakwaan penyeludupan dadah,” kata pegawai antinarkotik kanan Kenya.
Media tempatan hari ini juga melaporkan ekstradisi mereka.
Menurut indikmen AS 21 muka surat, Ibrahim Akasha telah menghantar 99 kilo heroin dan dua kilo metamfetamin kepada ejen yang menyamar. Pertemuan dan perbualan juga dirakamkan.
Indikmen AS menggambarkan Baktash Akasha sebagai ‘ketua jenayah terancang di Kenya’ manakala adiknya Ibrahim sebagai ‘timbalannya’. – AFP