Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    4 suspek pembelot Korea Utara ditemui dalam bot kecil

    SEOUL, 24 OKT – Empat warga Korea Utara ditemui dalam sebuah bot kayu kecil di perairan Korea Selatan hari ini dalam apa yang ke-mungkinan merupakan kes yang jarang berlaku di mana warga Korea Utara membuat perjalanan berbahaya menyeberangi laut untuk melarikan diri ke Korea Selatan, kata pegawai Seoul.

    Lebih daripada 30,000 rakyat Korea Utara telah melarikan diri ke Korea Selatan untuk mengelakkan kemiskinan dan penindasan politik sejak akhir 1990an. Sebilangan besar daripada mereka datang melalui laluan darat dengan China, dan untuk melarikan diri melalui laut adalah perkara yang lebih jarang kerana ia lebih berbahaya.

    Sebuah kapal pengawal pantai Korea Selatan menemui bot itu di selatan sempadan laut timur kedua-dua Korea hari ini selepas menerima laporan oleh bot nelayan. Empat orang di dalam kapal itu mengenal pasti diri mereka sebagai warga Korea Utara, kata pegawai pengawal pantai.

    Tentera Korea Selatan berkata ia telah menahan warga Korea Utara itu dengan kerjasama pengawal pantai, selepas mengejar bot mereka di sepanjang sempadan laut. Satu kenyataan tentera berkat, rakyat Korea Utara disyaki membelot ke Korea Selatan tetapi tidak memberikan butiran lanjut.

    Penyiar awam Korea Selatan, KBS, merujuk kepada seorang pegawai kerajaan yang tidak dikenali, melaporkan bahawa empat warga Korea Utara itu – seorang lelaki dan tiga wanita – adalah ahli sebuah keluarga. KBS berkata mereka tidak bersenjata dan tidak memakai pakaian seragam tentera apabila ditemui.

    Kementerian Perpaduan Korea Selatan enggan memberikan butiran peribadi keempat-empat individu itu, dengan menyatakan siasatan sedang dijalankan. – AP

    Sebuah bot kayu kecil (tengah) ditunda ke sebuah pelabuhan di Yangyang, Korea Selatan. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda