JOHANNESBURG, 15 JAN – Kira-kira 60 mayat telah dikeluarkan dari sebuah lombong emas yang tidak lagi digunakan di Afrika Selatan, beberapa bulan selepas kempen untuk membersihkan lombong daripada pelombong haram, kata pihak polis hari ini.
Pihak berkuasa mula berusaha mengeluarkan mayat dan menyelamatkan mangsa yang masih hidup pada Isnin, selepas penduduk tempatan menyuarakan kebimbangan bahawa lebih 100 orang mungkin telah terkorban di lombong di Stilfontein, kira-kira 140 kilometer ke barat daya Johannesburg.
“Pada hari kedua operasi, sejumlah 106 pelombong haram yang masih hidup telah diselamatkan dan ditangkap kerana perlombongan haram. Seramai 51 orang disahkan meninggal dunia,” menurut kenyataan polis. Sembilan mayat telah dikeluarkan pada hari sebelumnya.
Lombong tersebut mempunyai kedalaman 2.6 kilometer di bawah tanah dan sebuah mesin khas dibawa pada Isnin untuk mengeluarkan pelombong serta mayat, hanya beberapa orang pada satu masa.
Penduduk Afrika Selatan memanggil pelombong-pelombong ini sebagai zama zamas, bermaksud mereka yang mencuba dalam bahasa Zulu. Mereka kebanyakannya terdiri daripada pendatang dari negara jiran dan sering dituduh oleh penduduk tempatan terlibat dalam kegiatan jenayah.
Pihak polis menyuarakan kebimbangan bahawa ratusan lagi mungkin masih terperangkap di bawah tanah. Namun, semasa lawatan ke lokasi pada Selasa, Menteri Polis, Senzo Mchunu enggan membuat ramalan jumlah pelombong yang mungkin masih berada di sana.
Video yang dihantar kepada AFP pada Isnin oleh Macua, sebuah kumpulan yang memperjuangkan hak pelombong, kelihatan menunjukkan puluhan mayat yang dibalut dengan kain di dalam ruang-ruang lombong. – AFP