Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    7 pegawai, kakitangan dihadapkan ke mahkamah

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 FEB – Kes terhadap tujuh orang pegawai dan kakitangan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) yang menghadapi pertuduhan rasuah, bersubahat melakukan pecah amanah dan salah guna jawatan awam telah dihadapkan di Mahkamah Perantaraan, kelmarin.

    Tiada pengakuan diambil daripada semua defendan kerana Timbalan Pendakwa Raya Nurul Fitri Kiprawi dan Pendakwa Siti Khalillah Hussin memaklumkan mahkamah bahawa salah seorang defendan kini sedang menjalani pengasingan.

    Hakim Radin Safiee Radin Mas Basiuni menangguhkan kes kepada 11 Mac untuk sebutan lanjut.

    Kes itu merupakan hasil tangkapan Biro Mencegah Rasuah (BMR) dalam operasi bersama agensi keselamatan lain antara 8 September dan 4 Oktober tahun lalu.

    Operasi itu dikaitkan dengan maklumat yang diterima oleh BMR bahawa pegawai di JKED melakukan kesalahan menjual barang yang dirampas dan disimpan di gudang jabatan itu di Muara, yang sebahagiannya telah diarahkan untuk dilupuskan.

    Ini membawa kepada penahanan Timbalan Ketua Unit Pengurusan Aset dan Logistik, Timbalan Penguasa Kastam Pengiran Mohd Amir Ilham bin Pengiran Haji Yusop dan Timbalan Penguasa Kastam, Pegawai Pemeriksa Pengiran Ehsaney Mohammad Mustaffa bin Pengiran Jalil, yang kemudiannya dibawa ke Mahkamah Majistret pada 10 September dan diperintahkan ditahan reman selama dua minggu untuk siasatan lanjut.

    Siasatan lanjut membawa kepada penahanan seorang warga India dan lima lagi pegawai dan kakitangan JKED yang terlibat dalam kes itu yang turut ditahan reman pada pelbagai tarikh untuk siasatan lanjut.

    Salah satu tangkapan susulan dibuat ialah Abu Talip bin Haji Awang Tengah yang merupakan Timbalan Penguasa Kastam dan Ketua Unit Pengurusan Aset dan Logistik, yang didakwa melakukan pecah amanah jenayah di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan pada Ogos kerana menyeleweng harta yang dirampas oleh JKED.

    Harta yang diselewengkan termasuklah pelbagai alat ganti kenderaan, motosikal mini, basikal, telefon bimbit, jam tangan, gelang jed dan pemotong rumput yang diamanahkan kepada Abu Talip selaku Ketua Unit Pengurusan Aset dan Logistik JKED.

    Manakala itu, Pengiran Mohd Amir Ilham, Pengiran Ehsaney Mohammad Mustaffa, Pegawai Kastam Dayangku Harlizan binti Pengiran Zainal dan Muhammad Nazirul Mubin bin Ismail, Pegawai Pemeriksa Kastam Muhammad Khairul Zaman bin Haji A. Said dan anggota kastam, Marsidi bin Haji Bakir kesemuanya didakwa di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibacakan dengan 109 yang sama kerana bersubahat melakukan pecah amanah pada Ogos, sementara menya-lahgunakan harta yang sama yang diamanahkan di bawah Abu Talip.

    Siasatan lanjut membongkar kesalahan lain yang didakwa dilakukan oleh Pengiran Ehsaney.

    Dakwaan berkenaan membawa dua pertuduhan yang dihadapi oleh Pengiran Ehsaney di bawah Seksyen 6(a) Akta Pencegahan Rasuah, Bab 131, kerana menerima rasuah $150 dan $100 pada September sebagai ganjaran daripada kontraktor yang telah dianugerahkan dua projek berasingan untuk menjalankan kerja-kerja pemasangan di JKED.

    Pengiran Ehsaney juga menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 12B Akta Pencegahan Rasuah kerana salah laku dalam memegang jawatan awam, iaitu Pegawai Pemeriksa Kastam, dengan menjual minuman yang memabukkan kepada seorang warga India antara 28 Ogos dan 5 September, satu kesalahan yang melanggar Seksyen 78 Perintah Eksais, 2006.

    Peguam Pengiran Khairul Nizam Pengiran Haji Mohd Yassin dari Messrs Yusof Halim & Partners mewakili Pengiran Mohd Amir Ilham.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda