Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    9 rakyat Mesir dibicarakan di Greece

    KALAMATA, 21 MEI – Sembilan lelaki warganegara Mesir dibicarakan di selatan Greece hari ini, selepas dituduh menyebabkan kapal karam yang mengakibatkan kematian ratusan pendatang dan menggemparkan operasi perlindungan sempadan dan suaka Kesatuan Eropah (EU).

    Di luar mahkamah, sekumpulan kecil penunjuk perasaan bertelingkah dengan polis rusuhan ketika prosiding dijalankan. Tiada laporan kecederaan serius tetapi dua orang telah ditahan.

    Defendan, kebanyakannya berusia 20an, berdepan hukuman penjara seumur hidup jika sabit bersalah atas pelbagai pertuduhan jenayah berhubung bot pukat tunda, Adriana yang karam pada 14 Jun tahun lepas di luar pantai selatan Greece.

    Kumpulan hak asasi manusia antarabangsa berhujah bahawa hak mereka untuk menjalani perbicaraan yang adil sedang terancam kerana mereka dihakimi sebelum siasatan selesai berhubung dakwaan bahawa pengawal pantai Greece mungkin gagal dalam percubaan menyelamat.

    Lebih 500 orang dipercayai telah karam bersama kapal nelayan itu, yang sedang dalam perjalanan dari Libya ke Itali. Selepas karam, 104 orang berjaya diselamatkan, kebanyakannya pendatang dari Syria, Pakistan dan Mesir dan 82 mayat ditemui.

    Penunjuk perasaan boleh didengari di dalam mahkamah yang sesak ketika ketua hakim, Eftichia Kontaratou membacakan nama sembilan defendan. Pegawai dari pasukan polis khas menjaga ketenteraman di dalam mahkamah.

    Peguam bela, Spyros Pantazis meminta mahkamah untuk mengisytiharkan dirinya tidak layak untuk membicarakan kes itu, dengan alasan bahawa kejadian karam itu berlaku di luar perairan wilayah Greece. “Mahkamah tidak seharusnya dijadikan penghukum antarabangsa,” kata Pantazis kepada panel tiga hakim.

    Kontaratou menyoal kesemua sembilan defendan melalui penterjemah. Tertuduh berkata niat mereka adalah untuk pergi ke Itali, bukan Greece dan beberapa menyatakan mereka tidak bersalah. – AP

    Polis bertempur dengan penunjuk perasaan di luar rumah mahkamah di Kalamata, barat daya Greece pada 21 Mei. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda