Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    ADB turunkan unjuran pertumbuhan Asia Pasifik

    MANILA, 14 DIS – Bank Pembangunan Asia (ADB) hari ini menurunkan unjuran pertumbuhan ekonominya bagi rantau Asia Pasifik tahun ini dan 2023 di tengah-tengah kedudukan ekonomi global yang semakin teruk, lapor dpa.

    Menurut bank yang berpangkalan di Manila itu, ekonomi rantau itu kini dijangka berkembang 4.2 peratus pada 2022 dan 4.6 peratus pada 2023, masing-masing susut daripada 4.3 peratus dan 4.9 peratus.

    Dasar monetari yang diperketat oleh bank pusat di seluruh dunia, pencerobohan Rusia ke atas Ukraine dan penutupan berulang akibat COVID di China, memperlahan pemulihannya daripada wabak itu, menurut ADB dalam kemas kini laporan Unjuran Tahunan Pembangunan Asia.

    “Asia dan Pasifik akan terus pulih, namun kedudukan global yang semakin teruk menyumbang kepada kemerosotan momentum rantau itu menjelang tahun baharu.

    Kerajaan perlu bekerjasama lebih erat untuk mengatasi cabaran berlarutan COVID, menangani kesan harga makanan dan tenaga yang tinggi – terutama dalam kalangan golongan miskin dan mudah terjejas – serta memastikan pemulihan ekonomi yang mampan dan inklusif,” kata ketua ekonomi ADB, Albert Park.

    Bank itu menurunkan unjuran inflasi di Asia dan Pasifik kepada 4.4 peratus tahun ini daripada 4.5 peratus tetapi menaikkan unjuran untuk tahun depan kepada 4.2 peratus daripada 4 peratus, disebabkan tekanan inflasi yang berlarutan daripada tenaga dan makanan. China, ekonomi terbesar di rantau ini, kini diunjurkan berkembang hanya tiga peratus tahun ini, berbanding unjuran sebelumnya sebanyak 3.3 peratus. Pada 2023, unjuran pertumbuhan ekonomi China diturunkan kepada 4.3 peratus daripada 4.5 peratus.

    Unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar untuk India, ekonomi kedua terbesar di rantau ini, dikekalkan pada tujuh peratus bagi tahun fiskal ini dan 7.2 peratus pada tahun berikutnya. – Bernama

    Kelly Bird, Pengarah Bank Pembangunan Asia (ADB) Negara Filipina, bercakap semasa taklimat ekonomi di Ibu Pejabat ADB di Mandaluyong, Metro Manila kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda