Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Afrika Selatan bakal adakan pilihan raya umum

    JOHANNESBURG, 21 FEB – Afrika Selatan dijangka mengadakan pilihan raya umum pada 29 Mei nanti yang bertepatan dengan sambutan 30 tahun kebebasan dan demokrasi negara itu, menurut pejabat presiden pada Selasa.

    Dilaporkan bahawa Presiden Cyril Rama-phosa telah pun mengadakan pertemuan dengan menteri-menteri yang berkaitan dan Suruhanjaya Pilihan Raya Bebas untuk membincangkan mengenai perkara itu.

    Afrika Selatan memperoleh kebebasan pada tahun 1994 selepas berakhirnya sistem aparteid.

    Pilihan raya yang pertama diadakan pada tahun 1994, menyaksikan Nelson Mandela menjadi presiden kulit hitam pertama yang dipilih secara demokrasi.

    Pada pilihan raya kali ini, Ramaphosa, 71, dari parti Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) yang memerintah sejak 1994 dijangka berdepan saingan sengit daripada pembangkang.

    Pesaing utama ANC, termasuk Perikatan Demokratik, parti politik kedua terbesar di Parlimen dan parti Economic Freedom Fighters yang ketiga terbesar.

    Menurut pakar, ANC turut akan berdepan saingan daripada parti Umkhonto We Sizwe yang baru ditubuhkan.

    Parti itu mendapat sokongan bekas Presiden Jacob Zuma yang baru-baru ini mengumumkan tidak akan menyokong ANC.

    Berdasarkan tinjauan pendapat oleh Yayasan Penyelidikan Sosial, Umkhonto We Sizwe mampu memperoleh sehingga 24 peratus undi di wilayah kelahiran Zuma iaitu di KwaZulu-Natal, wilayah kedua terpadat di Afrika Selatan. – Bernama

    Presiden Cyril Ramaphosa menyampaikan ucapan negara di Cape Town, Afrika Selatan pada 8 Februari. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda