Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    AI dedah tidak setiap cap jari unik

    NEW DELHI – Jurutera-jurutera dari Universiti Columbia di Amerika Syarikat (AS) telah membangunkan kecerdasan buatan (AI) baharu yang menghapuskan kepercayaan yang telah lama dipegang dalam forensik – bahawa cap jari daripada jari berbeza orang yang sama adalah unik.

    Ternyata ia serupa, cuma kita telah membandingkan cap jari dengan cara yang salah, lapor The Statsman.

    Komuniti forensik telah menerima baik fakta bahawa cap jari dari jari yang berbeza daripada orang yang sama adalah unik, oleh itu, tidak dapat dipadankan.

    Pasukan yang diketuai oleh pelajar sarjana muda Columbia Engineering, Gabe Guo itu mencabar anggapan yang dipegang secara meluas berkenaan.

    Guo, yang tidak mempunyai pengetahuan awal tentang forensik, menemui pangkalan data awam kerajaan AS yang mengandungi kira-kira 60,000 cap jari dan memasukkannya secara berpasangan ke dalam sistem berasaskan AS yang dikenali sebagai rangkaian kontrastif dalam.

    AI yang dibangunkan oleh jurutera-jurutera dari Universiti Columbia, AS itu menghapuskan kepercayaan yang telah lama dipegang dalam forensik – bahawa cap jari daripada jari berbeza orang yang sama adalah unik. – Freepik
    Gambar Freepik

    Kadang-kadang pasangan (cap jari) itu milik orang yang sama (tetapi jari yang berbeza), dan kadang-kadang ia milik orang yang berbeza.

    Dari semasa ke semasa, sistem AI, yang direka oleh pasukan itu dengan mengubah rangka kerja terkini, menjadi lebih baik dalam mengenal pasti apabila cap jari yang kelihatan unik adalah milik orang yang sama dan berlainan orang.

    Ketepatan untuk satu pasang (cap jari) mencapai 77 peratus. Apabila berbilang pasangan diketengahkan, ketepatan rakaman jauh lebih tinggi, berpotensi meningkatkan kecekapan forensik semasa lebih daripada 10 kali ganda.

    “AI tidak menggunakan minutiae, iaitu cabang dan titik akhir dalam rabung cap jari – corak yang digunakan dalam perbandingan cap jari tradisional,” kata Guo, yang memulakan kajian sebagai pelajar tahun pertama di Columbia Engineering pada 2021.

    “Sebaliknya, ia menggunakan sesuatu yang lain, berkaitan dengan sudut dan kelengkungan pusaran dan gelung di tengah cap jari.”

    Projek itu, kerjasama antara makmal Creative Machines, Hod Lipson di Columbia Engineering dan makmal Embedded Sensors and Computing, Wenyao Xu di Universiti di Buffalo, SUNY, telah diterbitkan dalam Science Advances.

    Walaupun ketepatan sistem AI tidak mencukupi untuk memutuskan sesuatu kes secara rasmi, ia boleh membantu mengutamakan petunjuk-petunjuk dalam situasi yang tidak jelas.

    Pelajar senior Columbia Engineering, Aniv Ray menyatakan bahawa hasil mereka hanyalah permulaan. “Bayangkan betapa baiknya ia berfungsi sebaik sahaja ia dilatih pada berjuta-juta, berbanding beribu-ribu cap jari,” kata Ray.

    “Penemuan ini adalah contoh perkara yang lebih mengejutkan daripada AI,” kata
    Lipson. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda