Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Aina Abdul perkukuh reputasi

    Tiga tahun lalu, di pentas Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, penyanyi dan komposer, Aina Abdul pernah membuat penonton bersorak dan menyanyi bersama tatkala mempersembahkan lagu Sumpah ciptaannya yang bersaing pada Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-34.

    Bagai mengimbau peristiwa bersejarah itu, di lokasi sama kelmarin, Aina membawa atmosfera serupa pada konsert berskala besar, A Night With Aina Abdul (ANWAA) 3.0 yang dipentaskan khusus buat si pemuja.

    Hampir sedekad berada di belantara seni dan meraih pelbagai kejayaan, Aina menuang pengalaman di pentas yang pernah menyaksikan nama besar dari dalam dan luar negara beraksi.

    Ibarat pemanas badan, Aina membuka gelanggang konsert dengan alunan muzik rancak Ghost dan Fool, sekali gus memberi bayangan dia mempunyai cukup stamina untuk menghiburkan penonton untuk tempoh tiga jam.

    Puas melayan lagu rancak, Aina atau nama sebenar, Nurul Aina Abdul Ghani mengubah tempo kepada lagu melankolik yang menjadi tanda dagangnya seperti Kelip-Kelip, Bleed, Sumpah, Bukan Untukku, Sedia Terluka, Nada Kalbu serta lagu yang dianggap sebagai lagu kebangkitannya berjudul Sepi.

    Aina bukan sahaja membuai penonton dengan emosi ciptaannya, malah berkongsi kesedihan menerusi bait lirik Galau yang didendangkan.

    Perasaan sebak menyelubungi lokasi ikonik itu ketika pemenang trofi juara Penyanyi Wanita Popular Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-35 ini menyanyikan lagu Atouna El Toufoule yang ditujukan khas buat warga Palestin.

    Selain terharu dengan kehadiran lebih 10,000 penonton ke konsertnya, Aina turut berkongsi momen paling menyentuh perasaannya malam itu. – Agensi

    Aina membawa atmosfera serupa pada konsert berskala besar, A Night With Aina Abdul (ANWAA) 3.0. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda