Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Air pasang merah: elak makan kerang-kerangan

    LABUAN, 19 FEB – Jabatan Perikanan Labuan menasihati penduduk di pulau bebas cukai ini supaya mengelak daripada memakan kerang-kerangan dari tanah besar Sabah, berkuat kuasa serta-merta.

    Pengarahnya, Faizal Ibrahim Suhaili berkata langkah itu susulan pengesanan fenomena air pasang merah berhampiran perairan Sepanggar.

    “Kami akan memantau dengan teliti kemasukan kerang-kerangan dari Sabah melalui terminal feri kami, bagi mengelak kes keracunan kerang-kerangan paralitik (PSP).

    “Memandangkan Jabatan Perikanan Sabah telah mengeluarkan amaran fenomena air pasang ini, maka fenomena ini juga berlaku di Labuan disebabkan perairan Labuan termasuk dalam perairan Sabah,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Faizal Ibrahim berkata keracunan kerang-kerangan paralitik adalah sindrom yang boleh dialami sesiapa sahaja jika mereka makan makanan laut yang tercemar disebabkan fenomena air pasang.

    Penduduk setempat mencari hidupan laut dan ikan kecil susulan fenomena air laut surut besar di sepanjang pantai Kampung Sungai Miri dan Kampung Sungai Lada kelmarin. – Bernama

    PSP boleh mengancam nyawa dan sering terjadi dalam masa dua jam pengambilan dan gejala termasuk kesemutan, terbakar, kebas, mengantuk dan lumpuh pernafasan.

    “Air pasang merah boleh bertahan selama beberapa hari, minggu, atau bulan dan boleh berubah setiap hari disebabkan keadaan angin dan arus air. Angin darat biasanya membawanya berhampiran pantai dan angin luar pesisir meniupkannya ke laut.

    “Jangan makan moluska (kerang atau tiram) yang hasil daripada fenomena air pasang merah, kerana ia mengandungi toksin yang menyebabkan keracunan makanan,” katanya.

    Sementara itu, Jabatan Perikanan Sabah memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak memakan kerang dari perairan Kota Kinabalu dan Tuaran selepas air pasang dikesan berhampiran Pulau Sepanggar pada Jumaat (17 Feb).

    Pengarahnya Azhar Kassim berkata Jabatan Biosekuriti mereka mendapati sel pyrodinium bahamense dan margalefidinium polykrikoides dalam satu liter sampel melebihi paras berbahaya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda