Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    AITI peringati WTISD dengan kesyukuran

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 MEI – Bersempena memperingati Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Bermaklumat Sedunia (WTISD) 2024, Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran di Masjid Az-Zakireen, Kampung Meragang, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha selaku Pengerusi AITI.

    Turut hadir ialah Pemangku Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim; Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan) di MTIC, Haji Mohammad Salihin bin Haji Aspar; dan Ketua Eksekutif AITI, Ir Haji Jailani bin Haji Buntar, pegawai-pegawai kanan dari MTIC serta wakil-wakil dari InfoCom Federation Brunei (IFB), penyedia-penyedia perkhidmatan telekomunikasi, dan industri ICT.

    Majlis dimulakan dengan sembahyang Sunat Hajat, bacaan Surah Yasin, Tahlil dan Doa Kesyukuran dan diikuti dengan sembahyang Fardu Asar berjemaah yang diimamkan oleh Haji Nurhidayatullah bin Haji Zulkiflee.

    WTISD disambut setiap 17 Mei untuk menandakan penubuhan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) pada 1865 ketika Konvensyen Telegraf Antarabangsa pertama ditandatangani di Paris, Perancis.

    Tujuannya adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai Internet dan ICT, dan bagaimana ia dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan ekonomi, serta merapatkan jurang digital.

    Tahun ini adalah tahun ke-55 WTISD diraikan sejak 1969 dengan tema untuk tahun ini adalah Inovasi Digital untuk Pembangunan yang Mampan yang menekankan peranan ICT dan teknologi inovatif dalam membantu menangani cabaran dunia yang semakin mendesak, dari memerangi perubahan iklim ke pembasmian kemiskinan dan kebuluran.

    Bersempena WTISD, AITI juga akan menganjurkan Persidangan dan Pameran Masa Depan Digital 2024 dengan membawa topik-topik yang menumpukan kepada kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber selaras dengan tema WTISD.

    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary semasa menghadiri majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH ADIB NOOR
    Antara yang hadir ke majlis tersebut. – GAMBAR OLEH ADIB NOOR

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda