SYDNEY, 23 JAN – Pihak berkuasa kesihatan di negeri yang paling padat penduduk di Australia mengeluarkan amaran demam campak untuk barat Sydney, lapor Xinhua.
Jabatan Kesihatan New South Wales (NSW) memberi nasihat kepada orang ramai untuk berwaspada terhadap tanda dan gejala demam campak susulan kes yang disahkan sebagai penyakit berjangkit di barat Sydney awal bulan ini.
Kebanyakan kes demam campak kebelakangan ini dipercayai berpunca dari Vietnam, menurut Jabatan Kesihatan NSW.
Pesakit disahkan tidak mendapat jangkitan sewaktu penerbangan, namun orang ramai yang mengunjungi klinik doktor di Berala, kira-kira 16 kilometer dari pusat Sydney, pada pagi 18 Januari diminta untuk memantau perkembangan gejala.
“Gejala yang perlu diawasi termasuk demam, sakit mata, hidung berair dan batuk, yang biasanya diikuti dengan ruam merah dan bertompok yang bermula di kepala dan wajah sebelum merebak ke bahagian tubuh yang lain dalam masa tiga hingga empat hari,” kata Mitchell Smith, pengarah kesihatan awam NSW untuk kawasan itu, dalam satu kenyataan.
Smith berkata ia boleh mengambil masa sehingga 18 hari bagi gejala demam campak muncul selepas seseorang terdedah kepada jangkitan. Beliau menasihatkan sesiapa sahaja yang bergejala untuk membuat janji temu sebelum berjumpa doktor.
Vaksin campak-beguk-rubela adalah percuma untuk sesiapa yang lahir selepas 1965 dan belum menerima dua dos vaksin itu di NSW. – Bernama